KUALA LUMPUR – Hanya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan terlibat dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan bermula pada Januari 2025.
Penjelasan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari itu menjawab pertanyaan ramai mengenai had umur bagi menyertai program berkenaan sehingga mencetuskan keresahan ramai.
Beliau berkata, tidak timbul isu mengenai mereka yang sudah berumur 30 tahun dan telah bekerja.
“Fokus kita tahun hadapan ialah lepasan SPM, contohnya lepas SPM tak boleh hadir sebab beberapa kekangan, (maka) dia boleh hadir hingga usia 35 tahun, itu mengikut akta.
“Tetapi, fokus kita ialah pelajar lepasan SPM, saya rasa di situ ada salah faham tentang kaedah pengambilan.
“Memang ada keresahan … mereka kata umur 30 sudah bekerja, tidak timbul isu, kita meletakkan akta tujuannya agar mereka diberi sedikit kelonggaran,” katanya, yang dipetik dari Bernama.
Adly berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (PUVET) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Peringkat Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di Sungai Petani, hari ini.
Pada Ahad, Adly berkata PLKN 3.0 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari tahun hadapan, yang akan turut melibatkan penyertaan pelajar berusia 16 tahun.
Menurutnya, program rintis melibatkan kira-kira 500 peserta di dua kem tentera di Kuala Lumpur dan Pahang sebelum diperluaskan ke 13 kem di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.
Berikutan itu, ramai yang meluahkan keresahan selepas mendapati had umur PLKN ialah sehingga 35 tahun, sedangkan ramai yang sudah bekeluarga dan bekerja.
Malah yang mempersoalkan sekiranya mereka sudah bekerja, adakah mereka perlu memohon cuti untuk menjadi pelatih PLKN. – 27 Oktober, 2024