Cikgu Din akhirnya dipindahkan sementara ke Kelantan, jaga isteri hidap kanser

Menteri Pendidikan berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan antara Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan

5:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang guru, Izzudin Izhar atau dikenali sebagai Cikgu Din telah ditukarkan ke sebuah sekolah di Kelantan, dari Sarawak bagi memudahkan dia menjaga isterinya yang kini menghidap kanser tahap empat.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, keputusan itu dibuat hasil perbincangan antara Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan.

“Cikgu Din akan ditempatkan di sekolah berhampiran dengan isterinya, Nur Atiqah My Yusoff supaya dia dapat menjalankan tugas dan pada masa sama dekat dengan isterinya.

“KPM merakamkan ucapan simpati kepada Cikgu Din atas keadaan yang berlaku terhadapnya dan kita akan uruskan dengan sebaik-baiknya.

“Buat masa ini, kita bagi ruang untuk dia bersama isterinya melalui arahan penempatan sementara dalam tempoh yang amat memerlukan ini.

“Jadi, kita doakan sekali lagi supaya Cikgu Din diberikan kekuatan dan kesabaran manakala isterinya juga diberikan kesembuhan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vokasional Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina menafikan dakwaan tindakan itu diambil selepas isu tersebut tular di media sosial sebaliknya berkata KPM sentiasa prihatin dan mengambil tindakan berdasarkan pertimbangan yang ada.

Sebelum ini seorang pengguna media sosial, Harima Abd Rahman mendedahkan Cikgu Din mengalami cabaran dalam hidupnya selepas permintaannya untuk berpindah tidak diluluskan KPM atas dasar tempoh perkhidmatannya yang belum mencecah tiga tahun di Sarawak.

Permohonan itu dibuat kerana cikgu berkenaan mahu berada di samping isterinya yang menghidap kanser dan sedang menerima rawatan kemoterapi di sebuah hospital di Kelantan.

Difahamkan beliau ketika ini mengajar subjek Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Wok, Kanowit, Sarawak, berulang-alik setiap dua minggu untuk pulang ke Kelantan bagi memberi sokongan kepada isterinya.

Tekanan yang dihadapi dikatakan menyebabkan Cikgu Din kemudian disahkan menghidap masalah mental atau major depressive disorder (MDD) yang menyaksikannya perlu menerima rawatan.

Sementara itu, aktivis dan bekas guru Mohd Fadli Salleh memaklumkan pihaknya sudah berjaya mengumpul sumbangan daripada orang ramai sebanyak RM36,000 sejak kutipan dibuka semalam.

Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Mohd Fadli berkata dia sudah menyerahkan wang RM20,000 kepada Cikgu Din bagi tujuan rawatan isterinya.

“Update sumbangan untuk Cikgu Din. Hari pertama (separuh hari) sumbangan masuk lebih kurang RM36,000.

“Persetujuan asal, RM10,000 untuk Cikgu Din dan selebihnya untuk projek amal Dana Kita dia infaq atas nama isteri beliau.

“Tapi aku rasa, Cikgu Din mesti perlu guna duit banyak, apa lagi banyak benda dah dia jual untuk tanggung kos sebelum ini. Rasa tak patut bagi RM10,000 sahaja, maka semalam kami terus transfer RM20,000,” katanya yang memaklumkan Cikgu Din berterima kasih di atas sumbangan rakyat Malaysia yang sudi membantunya. – 26 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Lim Guan Eng faces party rebellion as grassroots call for his ouster

Party insiders say growing dissent over Lim’s leadership, with critics blaming him for internal strife and strategic missteps

No more political appointees: New Malaysian ambassador to US a career diplomat, says Tok Mat

The US has no objections with the nominee who is awaiting the Yang di-Pertuan Agong's consent

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Related