KUALA LUMPUR – Polis Perak mengesahkan penganjur perarakan Guan Gong Sedunia di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang terbabit dalam insiden mempamerkan bendera China telah melanggar syarat permit kerana membenarkan warganegara asing menyertai perarakan itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata, penganjur hanya mendapat permit untuk mengadakan perarakan pada 2 Oktober lalu.
Berikutan itu, katanya, polis akan merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Pendakwa Raya Isnin ini bagi tindakan lanjut.
“Penganjur didapati telah melanggar syarat permit kerana membenarkan warga asing turut serta dalam perarakan tersebut.
“Telah ditetapkan dalam syarat permit polis, tidak dibenarkan warganegara asing menyertai perarakan yang diadakan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setakat ini pihak polis telah menerima 16 laporan berhubung kes berkenaan.
“Pihak penganjur yang terdiri daripada pengerusi persatuan, setiausaha dan bendahari telah dirakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.
“Selain itu 16 orang warga China dan seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun yang merupakan pengiring juga telah dirakamkan percakapan.
“16 orang warganegara China itu terdiri daripada lapan lelaki berumur 40 hingga 61 tahun dan lapan perempuan berumur 40 hingga 56 tahun.
“Kesemua warganegara China itu mengaku telah mengibarkan bendera negara China pada perarakan tersebut,” katanya.
Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana penganjur melanggar syarat dan Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 iaitu mengibarkan bendera asing semasa perarakan.
Terdahulu, tular di media sosial video sekumpulan peserta mengibarkan bendera China pada perarakan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan. – 26 Oktober, 2024