KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia meminda perundangan berkait kesihatan mental dalam usaha mengekang salah laku, terutama membabitkan kes jenayah dilakukan golongan terbabit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad bagaimanapun perkara berkenaan perlu diperhalusi, sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan.
Mengakui bimbang pesakit berkaitan mental menggunakan keadaan kesihatan sebagai alasan melakukan sebarang salah laku, beliau juga mahu keadaan sedemikian segera dinoktahkan.
“Semua ini (pindaan sebarang perundangan sedia ada) memerlukan penelitian lebih cermat dan kita pastinya akan membuat perbincangan dalam mesyuarat pasca-Kabinet KKM.
“Kita juga akan merujuk kepada penasihat perundangan kementerian. Masih terlalu awal untuk membincangkan perihal pindaan sebarang perundangan berkaitan.
“Namun, lebih mustahak untuk memahami setiap kes terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan,” katanya kepada media selepas Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 di sini, hari ini.
Beliau mengulas kebimbangan masyarakat berhubung sesuatu jenayah membabitkan individu didakwa mengalami masalah kesihatan mental mungkin menjurus kepada tiada pembelaan wajar terhadap mangsa dan keluarga, atas alasan pelaku tidak berada dalam keadaan waras.
Terdahulu, majlis perasmian MIH Megatrends 2024 dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta KPJ Healthcare itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Selain itu Dzulkefly tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu didakwa mengalami masalah kesihatan mental, menggunakan ‘tiket sedemikian’ untuk melakukan sesuatu jenayah.
“Saya kira ini suatu kebejatan (kerosakan), insiden sedemikian mungkin menjadi lebih kerap dan salah guna kad (berkaitan kesihatan mental) pastinya perlu diteliti,” katanya. – 26 Oktober, 2024