MIH Megatrends 2024: Rangkaian 5G tambah baik sektor penjagaan kesihatan

5G dengan penyediaan jalur lebar berkelajuan tinggi membolehkan rakyat membina model perniagaan baharu

4:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Perkembangan pantas rangkaian 5G di seluruh negara bakal menambah baik sektor penjagaan kesihatan serta memberi manfaat kepada rakyat di kawasan pedalaman.

Ketua Pegawai Pembangunan Industri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Muhammad Razali Anuar berkata, 5G dengan penyediaan jalur lebar berkelajuan tinggi membolehkan rakyat membina model perniagaan baharu selain penyediaan aspek keselamatan yang sangat penting dalam banyak industri termasuk penjagaan kesihatan.

“Jadi bayangkan jika anda ingin menjalani pembedahan jarak jauh, 5G akan membolehkan anda melakukan itu dan pelbagai teknologi juga.

“Dalam 5G sendiri akan membolehkan penyedia penjagaan kesihatan untuk bergantung kepada ciri keselamatan yang dipertingkat dengan lebih baik.

“Apabila doktor melakukan pembedahan, katakan di Kuala Lumpur, tugas yang sama juga boleh dilakukan di Lawas, Sarawak.

“Tiada kelewatan dalam soal pergerakan doktor, tangan mereka, menggunakan pembedahan. Jadi begitulah, pada asasnya, teknologi 5G dan yakin boleh memberi manfaat kepada industri lain, terutamanya sektor kesihatan,” katanya kepada Scoop selepas pembukaan Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 di sini hari ini.

Ketua Pegawai Pembangunan Industri MCMC, Muhammad Razali berkata, pihaknya melihat penjagaan kesihatan itu sebagai salah satu sektor yang sudah cukup matang. – Gambar MCMC, 25 Oktober, 2024

MIH Megatrends 2024 yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Suriani Ahmad berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad.

Persidangan itu menghimpunkan pemimpin penjagaan kesihatan global, inovator dan pembuat dasar untuk meneroka penyelesaian serta teknologi terkini yang akan membentuk masa depan penjagaan kesihatan.

Acara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu juga akan menampilkan perbincangan mendalam mengenai topik penjagaan kesihatan penting, seperti potensi transformasi kecerdasan buatan (Al) generatif dalam penjagaan kesihatan.

Ditanya perancangan MCMC dalam meningkatkan sistem penjagaan kesihatan menerusi infrastruktur teknologi, Muhammad Razali berkata, pihaknya melihat penjagaan kesihatan itu sebagai salah satu sektor yang sudah cukup matang.

“Yang sebenarnya memerlukan dorongan itu dari segi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang bermakna kepada rakyat.

“Jadi dengan sambungan yang lebih baik, terutamanya dengan 5G, kebolehcapaian gentian ke kebanyakan kawasan bandar dan luar bandar, kami melihat terdapat banyak peluang, terutamanya klinik swasta, farmasi, untuk dapat menggunakan sambungan yang lebih baik dalam menyampaikan perkhidmatan mereka kepada pihak yang tepat.

“Katakan jika saya pergi ke satu klinik di Lawas sekali lagi, saya akan dapat mengakses perkhidmatan yang sama jika saya pergi ke Pekan.

“Jadi itulah cara kami membolehkan klinik swasta menerima teknologi dan menyampaikan perkhidmatan mereka dengan lebih baik, bukannya hanya terhad kepada kawasan tertentu,” katanya.

Tambah beliau, memperluaskan kesalinghubungan hingga ke kawasan luar bandar menjadikan ia lebih bermakna kepada rakyat.

“Kami sudah mempunyai liputan 4G dan kemudian kami juga mengembangkan liputan 5G di seluruh negara.

“..dan kita juga mempunyai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) yang merentasi dalam negara, Jadi kita akan mempunyai lebih 1,000 Nadi di seluruh Malaysia.

“Jadi pada asasnya kami akan menyediakan ketersambungan yang bermakna kepada orang ramai di seluruh Malaysia, terutamanya kawasan luar bandar.

“Dengan kemunculan teknologi baharu bagi satelit, serta mengambil kira penggunaan jalur lebar, akan ada lebih banyak komuniti di kawasan luar bandar dan sangat terpencil mampu mengakses internet,” katanya. – 25 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Lim Guan Eng faces party rebellion as grassroots call for his ouster

Party insiders say growing dissent over Lim’s leadership, with critics blaming him for internal strife and strategic missteps

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

No more political appointees: New Malaysian ambassador to US a career diplomat, says Tok Mat

The US has no objections with the nominee who is awaiting the Yang di-Pertuan Agong's consent

Related