RUU tahanan di rumah sasar 20,000 pesalah: Saifuddin

Saifuddin berkata cadangan menggubal rang undang-undang itu dilaksana berikutan kesesakan serius di 43 penjara di seluruh negara yang menimbulkan keadaan tidak kondusif

8:47 PM MYT

 

KLANG – Rang undang-undang (RUU) baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah menyasarkan kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu dan layak dipertimbang selepas mereka menjalani proses tapisan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata rang undang-undang itu antara lain meliputi pesalah pertama yang tidak melakukan kesalahan berat, wanita mengandung, warga emas dan orang kurang upaya.

“Seperti yang saya katakan, angka yang layak dipertimbang ialah 20,000 orang yang merupakan pesalah pertama. 

“Ia juga disasarkan kepada pesalah yang melakukan kesalahan tidak serius, contohnya ibu tunggal dihimpit kemiskinan yang mencuri susu kerana ingin memberi anaknya makan dan dijatuhi hukuman penjara,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Keadilan Rakyat Cabang Kota Raja hari ini.

Saifuddin berkata susulan itu, tidak perlu ditimbulkan polemik berkaitan siapa yang layak dipertimbang untuk menjalani hukuman kerana pesalah perlu melepasi beberapa tahap tapisan antaranya memiliki rekod disiplin baik ketika dipenjara.

Semalam, Saifuddin Nasution berkata rang undang-undang berkaitan hukuman tahanan di rumah akan dibentang pada tahun depan dan Kabinet telah memberikan kelulusan dasar untuk pelaksanaannya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 berkata kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu. 

Mengikut peruntukan akta itu, pesalah dikehendaki berada di tempat yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan.

Saifuddin Nasution juga berkata kerajaan sebelum ini telah melaksanakan tiga inisiatif iaitu parol, perintah kehadiran wajib serta pembebasan berlesen di bawah Peraturan Penjara Tahun 2000 dan mendapati kadar residivisme (kembali melakukan kesalahan) adalah rendah.

“Menerusi ketiga-tiga kaedah, bagi setiap 700 pesalah yang kita bebaskan hanya satu patah balik. Residivisme itu satu sahaja,” katanya.

Beliau berkata cadangan menggubal rang undang-undang itu dilaksana berikutan kesesakan serius di 43 penjara di seluruh negara yang menimbulkan keadaan tidak kondusif.

“Peratusan kesesakan penjara kini mencecah 11 peratus iaitu 82,000 tahanan berbanding kapasiti ditetapkan iaitu 74,000 orang.

“Oleh itu, kita perlu melakukan sesuatu bagi mengatasinya kerana pesalah dikategorikan kepada dua iaitu mereka yang telah disabitkan bersalah dan tahanan reman,” katanya.

Saifuddin Nasution juga berkata akta seumpamanya sudah dilaksanakan di negara seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Australia.  

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Dobby Chew mempersoal pelaksanaan rang undang-undang tahanan di rumah yang didakwa bertujuan untuk memberi manfaat kepada pihak tertentu. – 20 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related