Perlesenan media sosial di Malaysia: Memperketatkan keselamatan pengguna media sosial rakyat Malaysia

Badan kawal selia komunikasi United Kingdom (UK), Ofcom, dan kerajaan Singapura antara yang menghubungi MCMC untuk mengetahui lebih lanjut tentang pelaksanaan inisiatif akta perlesenan media sosial dalam negeri

4:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bayangkan dunia tanpa media sosial – tiada lagi swafoto yang dikongsi dengan rakan, tiada lagi video lucu atau kandungan viral yang menceriakan hari kita.

Dunia yang sunyi tanpa notifikasi, tanpa cerita yang menghubungkan kita dengan sahabat jauh, tanpa perbincangan panas di ruangan komen.

Tahun lalu, Facebook dilaporkan mengaut keuntungan lumayan mencecah AS$600 juta dari Malaysia sahaja. – Gambar fail, 17 Oktober, 2024

Bagi sesetengah orang, mungkin ini kedengaran menenangkan, tetapi hakikatnya media sosial sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita.

Kita hidup dalam era di mana interaksi dalam talian menjadi norma, membantu kita kekal terhubung.

Tahun lepas, Facebook dilaporkan mengaut keuntungan yang lumayan, iaitu AS$600 juta dari
Malaysia sahaja.

Tapi, pertanyaan yang membara dalam kalangan pengguna adalah: apa yang sebenarnya dilakukan oleh gergasi media sosial sebegini untuk memastikan platform mereka selamat dan terjaga di negara kita?

Dengan isu-isu keselamatan dan privasi yang semakin hangat, ramai yang tertanya-tanya sama ada media sosial benar-benar peduli dengan pengalaman kita di dunia maya.

Isu Keselamatan dan Privasi

Ancaman keselamatan seperti penggodaman, penyebaran maklumat palsu dan jenayah siber yang lain semakin meningkat.

Pengguna sering kali terdedah kepada risiko ini tanpa sedar, terutama apabila kita menganggap bahawa semua yang dikongsi adalah selamat.

Siapa sangka, di sebalik kesenangan teknologi yang kita nikmati, ada juga bahaya menanti.

Tanpa kesedaran tentang bahaya ajaran ekstrem menerusi media sosial, fahaman yang dilarang seperti kes Al-Arqam masih dapat menular dalam kalangan pengguna.

Langkah-Langkah Global Terhadap Isu Media Sosial

Menyedari bahaya yang datang bersama kemajuan teknologi ini, banyak kerajaan di serata dunia telah mengambil langkah-langkah yang penting.

Misalnya Kesatuan Eropah (EU) memperkenalkan Akta Perkhidmatan Digital (DSA) pada tahun 2023 yang menyeru semua syarikat media sosial untuk mengalih keluar kandungan berunsur toksik dalam tempoh masa 24 jam selepas aduan dibuat manakala Australia mengulangi komitmen EU dalam tadbir urus dunia sibernya dengan memperketatkan peraturan dalam aktiviti edaran maklumat di media sosial.

Pengguna media sosial hampir menjadi bingung apabila Indonesia hampir menghentikan
operasi beberapa nama media terbesar dalam dunia digital.

Facebook, Instagram dan Netflix semuanya mendapat larangan beroperasi daripada kerajaan jika enggan akur dengan undang-undang baru negara Garuda tersebut.

Tetapi apabila tirai hampir melabuh, gergasi teknologi semua ini akhirnya mendaftar di bawah akta Penyedia Sistem Elektronik (PSE) pada saat-saat akhir!

Inisiatif MCMC di Malaysia

Mengikut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, langkah permohonan lesen media sosial di Malaysia baru-baru ini telah ‘membuka mata’ negara lain untuk tidak membenarkan platform media sosial terus mengaut keuntungan dan melanggar undang-undang negara.

Badan kawal selia komunikasi United Kingdom (UK), Ofcom, dan kerajaan Singapura adalah antara yang menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengetahui lebih lanjut tentang pelaksanaan inisiatif akta perlesenan media sosial dalam negeri.

MCMC telah mengumumkan tempoh lima bulan untuk platform media sosial memastikan pematuhan terhadap kawal selia yang akan dilaksanakan. – Gambar fail Scoop, 17 Oktober, 2024

Inisiatif ini menandakan era baharu kerjasama antarabangsa dalam menguatkuasakan piawaian keselamatan dalam talian.

Pada 1 Ogos 2024 yang lalu, MCMC memperkenalkan rangka kerja pelesenan media sosial di Malaysia bagi mengawal selia platform yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna berdaftar.

Tujuannya? Untuk memastikan pengawasan lebih rapi terhadap operasi lokal gergasi platform media sosial seperti Facebook, Instagram, dan TikTok, memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk mengurus kandungan berbahaya, melindungi data peribadi pengguna, serta menjaga keselamatan negara.

MCMC menggalakkan langkah proaktif daripada penyedia perkhidmatan agar operasi mereka
sejajar dengan undang-undang tempatan.

MCMC telah mengumumkan tempoh lima bulan untuk platform media sosial memastikan pematuhan terhadap kawal selia yang akan dilaksanakan.

Dalam tempoh ini, MCMC akan aktif berinteraksi dengan penyedia perkhidmatan untuk memastikan peralihan lancar menjelang 1 Januari 2025.

Kegagalan Mematuhi Pelesenan

Namun, apa yang berlaku sekiranya platform-platform ini enggan mematuhi rangka kerja sebegini?

Platform-platform ini diwajibkan untuk memohon Lesen Kelas Penyedia Perkhidmatan Aplikasi agar dapat terus beroperasi di Malaysia.

Jika penyedia perkhidmatan didapati bersalah, mereka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda RM1,000 sehari, selagi kesalahan itu berterusan.

Lebih dari itu, tanpa lesen yang sah, platform ini tidak akan dibenarkan untuk menawarkan perkhidmatan mereka kepada rakyat Malaysia.

Inisiatif ini menunjukkan komitmen MCMC untuk memperkukuh kerjasama dan meningkatkan
pematuhan demi melindungi kepentingan semua pihak terlibat.

Jadi, adakah ini bermakna kita perlu risau kehilangan akses kepada media sosial kegemaran?

Tidak semestinya, tetapi pelesenan ini memberikan satu mesej jelas: keselamatan, perlindungan data, dan pengurusan kandungan berbahaya kini menjadi keutamaan.

Platform yang tidak mematuhi peraturan baru ini bakal berdepan dengan tindakan tegas.

Dengan langkah ini, kita berharap dapat mengawal penyebaran maklumat yang tidak tepat dan memastikan keselamatan ruang maya.

Dengan adanya undang-undang sebegini, Malaysia menuju ke arah masa depan yang lebih selamat, dengan kepastian bahawa kemajuan teknologi selari dengan keselamatan pengguna. – 17 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related