KUALA LUMPUR – Calon Naib Presiden Bersatu, A’ziss Zainal Abiddin mengakui ada pihak yang mendesaknya supaya menarik diri daripada bertanding jawatan itu bagi memastikan pelan ‘kompromi’ jawatan lima tertinggi parti dipatuhi.
Bercakap kepada Scoop, A’ziss yang juga Ketua Bersatu Batu Kawan berkata, beliau mempersoalkan kenapa perlu menarik diri kerana jika menang dalam pertandingan ia bermakna ada sokongan dari akar umbi.
“Saya cakap kenapa perlu tarik diri, kalau menang tanpa bertanding kamu tidak ada kekuatan, kalau menang dengan bertanding maknanya ada sokongan dan akar umbi suka.
“Memang betul yang kata pilih pemimpin jawatan tinggi dari kalangan Ahli Parlimen untuk bawa suara rakyat, tapi suara orang bawahan, ahli akar umbi ini siapa yang nak bawa.
“Saya orang bawahan yang banyak membantu kalangan orang bawahan, orang di atas pandai berjanji sahaja, bila menang hilang habis,” katanya kepada Scoop.
Pertandingan bagi jawatan Naib presiden Bersatu pada pemilihan parti itu bulan depan menyaksikan persaingan enam calon iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin yang akan bertanding untuk mempertahankan jawatan disandang mereka itu.
Empat lagi calon yang turut bersaing ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, A’ziss, Datuk Razali Idris dan Mohd Rafiq Abdullah.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kewujudan ‘cai’ atau kumpulan tertentu dalam pemilihan Bersatu, A’ziss berkata, ia tidak memberi keuntungan sebaliknya hanya mengundang perpecahan dalam parti.
Meskipun tidak menafikan kewujudan ‘cai’ di peringkat kepimpinan atasan parti, beliau berkata ia perlu diperbetulkan.
“Yang kata calon ini ‘team Azmin’, calon tu ‘team Hamzah’ , itu antara susunan oleh orang di atas. Saya yang di bawah ni tidak ada susunan oleh sesiapa, tidak ada cai.
‘Cai ini yang menyebabkan perpecahan dalam parti, perjuangan kita untuk bangsa dan agama, menentang rasuah dan sebagainya, kena perbetulkan dalaman Bersatu dahulu.
“Kita dalam Bersatu ini, kekuatan terletak pada ahli, kalau berpecah apa berlaku? Di mana kekuatan kita, disebabkan nak jadi pemimpin atas, bila kalah kita berpecah, tak boleh macam itu, jangan duduk dalam parti kalau bersikap begitu,” katanya.
A’ziss menegaskan beliau juga bukan proksi kepada mana-mana pemimpin atasan apabila tercalon sebagai seorang daripada enam pemimpin bagi merebut jawatan Naib Presiden.
“Saya bukan proksi siapa-siapa untuk masuk bertanding, saya orang kuat Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya direstui Badan Perhubungan Negeri Pulau Pinang, tiada bantahan untuk percalonan saya.
“Kita berlawan atas dasar demokrasi, kita satu keluarga besar, tak payah nak bawa isu yang boleh menyebabkan parti berpecah.
“Kalah menang itu terpulang perwakilan, kalau saya menang saya senyum, kalau kalah saya ketawa, sebab ini barulah demokrasi, bukan bermasam muka,” katanya. – 17 Oktober, 2024