AMPANG – Penduduk yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh di Jalan E6, di Taman Melawati, di sini, masih belum mengetahui bila mereka akan dibenarkan kembali ke rumah masing-masing.
Setakat ini, mereka masih berlindung di pusat pemindahan sementara yang dibuka di kawasan berhampiran.
Salah seorang penduduk, Robiatun Laila Mohd Yaacob, 45, yang sudah menetap di Taman Melawati sejak 2009 berkata, dia bersama suami dan dua anak mereka akan terus menetap di situ sehingga mendapat jaminan kediaman mereka selamat diduduki.
Robiatun, yang juga seorang guru berkata, susulan insiden berkenaan, dia juga terpaksa mengambil cuti kecemasan.
Mengulas lanjut, dia berkata apa yang paling dibimbangi selama ini sudah berlaku dan kali ini runtuhan tersebut adalah yang paling teruk.
“Akhirnya apa yang kami risaukan, terjadi (tanah runtuh). Sebelum ini memang ada tanah runtuh tapi tak seteruk ini, ini yang paling besar (teruk).
“Sebelum ini penduduk dah hantar surat dan buat bantahan sebab ada pembinaan di atas bukit, kami di bawah ini berisiko dengan kejadian macam ini, tetapi tidak dilayan dan diambil sebarang tindakan,” katanya yang merupakan antara tujuh keluarga yang bermalam di Pusat Penempatan Sementara di dewan serbaguna di Jalan E5, di sini.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Jason Ng, 25, pula berharap pihak bertanggungjawab akan sentiasa menjalankan pemantauan berkala membabitkan sistem pengaliran air agar ia tidak tersumbat dan berada dalam keadaan baik.
Menurutnya, dia bersama ahli keluarga berasa bimbang dengan keadaan tersebut dan mengharapkan insiden itu tidak akan berulang lagi memandangkan berisiko mengancam nyawa penduduk di situ.
“Saya sudah menetap di sini sejak lahir lagi, dulu memang tepi jalan selalu ada air lumpur (bila lepas hujan) tapi tak pernah seteruk ini.
“Masa kejadian, saya bekerja dari rumah, jadi ia merisaukan. Saya harap pihak berkaitan selalu buat rutin pemeriksaan ke atas longkang-longkang yang tersumbat disebabkan pembangunan rumah di atas bukit.
“Mungkin pihak berkaitan kena periksa (pembinaan rumah atas bukit) legal (sah) atau tidak… mereka (pemaju/pemilik rumah) bina rumah sampai lima, enam tingkat… (saya tengok pun) takut,” katanya.
Manakala seorang lagi penduduk, Tajul Ariffin Johari, 69, yang juga seorang pesara tentera mendakwa pembinaan yang terlalu padat dan dibina di lereng serta atas bukit antara punca kejadian tanah runtuh itu.
“Dulu keadaan di sini aman damai walau dalam keadaan apa-apa cuaca tapi sekarang agak sibuk. Apabila sistem perparitan tidak diselia dengan baik, itulah puncanya,’’ katanya yang turut mengharapkan tindakan segera diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Hujan lebat sejak awal pagi Selasa telah menyebabkan kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.
Berikutan itu, penduduk di 20 kediaman diarahkan berpindah dan mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara mangsa bencana di kawasan berhampiran.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Datuk Zamri Ramli yang melawat kawasan berkenaan hari ini berkata tiada lagi pergerakan tanah dikesan di Jalan E6, Taman Melawati.
Tumpuan kini, kata Zamri, ialah memperkukuhkan cerun menggunakan kaedah soil nailing bagi mengelakkan sebarang pergerakan tanah berlaku. – 16 Oktober, 2024