Melaka negeri terbaru putuskan GISB sesat, Pulau Pinang dijangka menyusul

Ada persamaan ciri-ciri yang dipegang oleh pengikut-pengikut bekas Al-Arqam dan Rufaqa yang telah difatwa haram di Melaka pada tahun 1994 dan 2007 namun kini dijenamakan semula sebagai GISB

4:55 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Melaka menjadi negeri ke-empat memutuskan GISB Holdings (GISB) sebagai sesat dan menyeleweng kerana terdapat kesinambungan ajaran Al-Arqam yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam di negara ini.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri yang diadakan pada 3 Oktober dan kini dalam proses untuk dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Seterusnya perkara itu diangkat bagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bahawa GISB adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan hukum syarak.

“Kita melihat ada beberapa perkara dalam elemen bukan sekadar GISBH tapi juga serpihan-serpihan daripada kumpulan pengasas Al-Arqam khususnya daripada keluarga Allahyarham Ashaari Muhammad.

“Ada persamaan ciri-ciri yang dipegang oleh pengikut-pengikut bekas Al-Arqam dan Rufaqa yang telah difatwa haram di Melaka pada tahun 1994 dan 2007 namun kini dijenamakan semula sebagai GISB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) juga akan memberi tumpuan kepada langkah pemulihan akidah ahli-ahli GISB.

Sementara itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang akan bersidang dua hari mulai esok untuk membuat ketetapan sama ada kepercayaan dan ajaran GISB mengandungi unsur sesat sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pihaknya juga sudah bersiap sedia dari sudut pemulihan akidah dan pendidikan kepada ahli-ahli GISBH termasuk anak-anak mereka.

“Kita akan tunggu keputusan itu (Jawatankuasa Fatwa Negeri berkait ajaran GISB) apabila diputuskan nanti (selesai persidangan),” katanya di Seberang Jaya hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) menyediakan Kompleks Darul Hidayah di Permatang Tok Gelam untuk dijadikan pusat pemulihan akidah pengikut GISB.

“Kita sediakan guru-guru takmir, manakala berkaitan pendidikan saya dimaklumkan seramai 200 pelajar berusia tiga hingga 19 tahun (yang diselamatkan dalam Op Global) telah ditempatkan di satu lokasi di negeri ini untuk diberikan bimbingan psikologi bagi memulihkan semangat mereka,” katanya.

Bulan lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mengisytiharkan GISB sebagai ajaran sesat, sekali gus negeri pertama yang mengeluarkan fatwa itu sebelum diikuti Selangor dan Pahang. – 14 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Summoned five times: Nazri Aziz on facing US State Dept on Palestine, global issues

Former envoy shares how he used facts and United Nations’ principles to defend Malaysia’s independence

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

How will M’sia recoup US$248 mil from Riza Aziz after 1MDB suit withdrawal?: Guan Eng

Putrajaya, which entered a deal with Datuk Seri Najib Razak’s stepson as part of a global settlement on 1MDB asset recovery, must explain the public interest matter

Related