Cedera bekas isteri: AGC tolak representasi pelakon Hafidz Roshdi

Pihak pendakwaan mahu meneruskan kes setelah meneliti semua fakta-fakta kes berkenaan dan memohon agar mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan

4:46 PM MYT

 

KUALA KUBU BHARU – Kes pelakon Hafidz Roshdi yang didakwa mencederakan bekas isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri akan diteruskan dengan perbicaraan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan lelaki itu. 

Keputusan AGC itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Eirene Nabila Amani Wiliams-Hunt pada prosiding sebutan di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini. 

“Pihak pendakwaan mahu meneruskan kes setelah meneliti semua fakta-fakta kes berkenaan dan memohon agar mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan,” katanya. 

Sehubungan itu, Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan 20 Jan depan untuk perbicaraan dan mengarahkan pengadu iaitu Nurul Shuhada, 30, hadir pada prosiding berkenaan.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Hafidz memaklumkan mahkamah bahawa Nurul Shuhada telah menarik balik laporan polis berhubung kejadian itu pada 6 Julai lepas dan tidak berhasrat meneruskan kes berkenaan.

“Pengadu merupakan saksi utama dalam kes ini, kebiasaannya pendakwaan akan menarik balik pertuduhan selepas pengadu tidak mahu meneruskan kes.

“Jika tarikh perbicaraan ditetapkan, saya mohon pihak pendakwaan mengesahkan dokumen termasuk laporan tarik balik kes terlebih dahulu agar tidak membuang masa mahkamah,” katanya. 

Akberdin bagaimanapun berkata pihaknya tetap menghormati keputusan pendakwaan untuk meneruskan kes itu.

Pada 13 Mac 2023, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada yang semasa itu adalah isterinya. 

Pelakon drama itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak, berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada 3.22 pagi, 2 Mac 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Pada 27 Julai 2023, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan pasangan itu bercerai talak satu. – 14 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related