IPOH – Polis menahan lima lelaki dan merampas pelbagai dadah dianggar seberat 21.87 kilogram dalam serbuan di sebuah rumah di Chui Chak, Langkap dekat Teluk Intan, Khamis lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata kesemua lelaki berusia 30 hingga 47 tahun yang dipercayai terbabit aktiviti pengedaran dadah itu ditahan pada 8 malam.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas empat peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggar seberat 4.21 gram dan empat peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis methamphetamine dianggar seberat 3.12 gram.
“Polis turut merampas 13 bungkusan plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dianggar seberat 21.8 kilogram. Kesemua dadah dirampas dianggar berjumlah RM787,527,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Azizi berkata pihaknya turut merampas dua kereta dan sebuah motosikal dianggar bernilai RM26,000.
Beliau berkata hasil siasatan mempercayai sindiket itu aktif sejak bulan lepas dan dadah dirampas boleh digunakan 218,664 penagih untuk pasaran di sekitar Perak.
“Suspek berusia 47 tahun didapati mempunyai 23 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah manakala empat yang lain turut mempunyai beberapa kes lampau berkaitan kes sama,” katanya.
Kesemuanya yang positif terhadap methamphetamine kini direman seminggu bermula Jumaat lepas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – 14 Oktober, 2024