KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat kemungkinan fahaman jihad militan cuba diserapkan kepada kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal Global Ikhwan Services & Holding (GISB).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan tersebut menjurus kepada perkara berkenaan selepas adanya dakwaan kanak-kanak terbabit dipertontonkan dengan tayangan video berunsur militan.
“Walaupun sepanjang siasatan kes ini, saya tidak pernah menyentuh mengenai tayangan video militan kepada kanak-kanak itu, namun (siasatan) kita menjurus ke arah itu.
“Cumanya kanak-kanak ini memang ada ditayangkan video berkaitan pemimpin mereka iaitu Abuya sepanjang berada di rumah amal terbabit,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Mohammad Fahmi Ngah dilaporkan berkata, fahaman jihad militan didedahkan dengan menonton video militan pada waktu lapang kanak-kanak berkenaan.
Katanya, fahaman itu didedahkan dengan menonton video militan pada waktu lapang kanak-kanak berkenaan.
Fahmi berkata, maklumat itu merupakan antara sumber yang diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). – 13 Oktober, 2024