KUALA LUMPUR – Seramai enam daripada 14 keluarga di Kampung Sri Makmur, Gombak yang diarah mengosongkan kediaman mereka, sudah berpindah ke rumah baharu di penempatan semula Rumah Selangorku di Batu Caves, pada awal bulan lalu.
Bercakap kepada Scoop, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM), Noora Mustafa, 50, berkata pangsapuri tiga bilik berkeluasan 750 meter persegi itu dijual pada harga lebih rendah dari pasaran sebagai pampasan yang dijanjikan kerajaan negeri Selangor.
“Seramai enam keluarga sudah selamat memasuki rumah mereka manakala yang selebihnya masih lagi dalam proses kerana pihak bank baru sahaja meluluskan pinjaman mereka.
“Alhamdulillah, penduduk dapat beli rumah dengan harga RM65,000 seunit, lebih rendah daripada pasaran iaitu RM100,000 menerusi skim Rumah Selangorku,” katanya.
Noora berharap urusan lapan lagi keluarga yang masih menunggu untuk memasuki rumah baru berjalan lancar kerana kebanyakannya kini menumpang di rumah saudara-mara sejak diarahkan mengosongkan rumah mereka di Kampung Sri Makmur pada 27 Mei lalu.
“Saya harap untuk urusan lapan lagi keluarga itu akan dipermudahkan sebab masih ada lagi yang menumpang di rumah saudara.
“Ada dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit (kronik) seperti buah pinggang, jadi diharapnya urusan melibatkan jual beli rumah itu akan dipermudahkan dan berjalan lancar (agar dapat berehat dengan selesa di rumah masing-masing),” katanya.
Pada 27 Mei lalu, penduduk di kampung terbabit diarah mengosongkan kediaman mereka bagi memberi laluan kepada pembangunan kondominium di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diduduki mereka.
Malah, berdasarkan kenyataan media PKNS sebelum ini, isu di kawasan itu bermula sejak Julai 2006 yang menyaksikan operasi perobohan dilaksanakan terhadap sebahagian unit rumah, namun bancian pada 2016 mendapati jumlah rumah meningkat 204 unit berbanding 80 buah pada 2006.
PKNS memaklumkan penjualan tanah di kampung itu kepada sebuah syarikat dimeterai pada 8 September 2020 dan syarikat tersebut memperoleh perintah mahkamah untuk melaksanakan tindakan meroboh semua struktur di tanah itu pada 14 Mei lepas.
Kerajaan Selangor sebelum ini menawarkan pembelian seunit Rumah Selangorku dengan harga subsidi RM65,000 serta sagu hati ‘ex-gratia’ sebanyak RM1,000 kepada 21 setinggan asal, berdasarkan pengesahan bancian pada 2006 dan 2016 mengikut senarai Pejabat Daerah dan Tanah Gombak. – 12 Oktober, 2024