KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarah menyediakan laporan berhubung isu seorang pendakwah dan sekumpulan pelajarnya yang mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab, yang mana video mengenainya tular di media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jakim diarahkan membawa perkara tersebut kepada tindakan pihak berkuasa agama Islam iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah serta Jabatan Mufti Negeri berkenaan.
“Sebarang isu berkaitan ketaksuban melampau perlu ditangani dengan segera.
“Sekiranya tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan akidah,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini tular video berdurasi 1.02 minit yang dikongsi di media sosial, di mana ia memaparkan beberapa individu dalam video tersebut seakan-akan memuji pendakwa berkenaan dengan alunan bait tertentu dalam bahasa Arab.
Kandungan alunan tersebut dikatakan memuji pendakwah berkenaan.
Mengulas lanjut, Na’im berkata, agensi hal ehwal Islam di peringkat persekutuan khususnya Jakim, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) diminta melipatgandakan usaha memberi kefahaman kepada masyarakat berkaitan asas akidah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah. – 10 Oktober, 2024