KUALA LUMPUR – Pelakuan jelik ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) yang didakwa terlibat dengan jenayah seksual dan penganiayaan terhadap kanak-kanak bukan berpunca daripada kepercayaan tetapi kepatuhan mutlak kepada pemimpin mereka.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa, kebanyakan mereka menyedari perbuatan liwat itu salah tetapi disebabkan sikap patuh kepada pemimpin, mereka tidak membantah atau mempertikaikannya.
“Ada bekas ahli yang mendedahkan kekejaman yang dialami sepanjang penglibatan mereka dalam kultus itu namun apabila disampaikan kepada ahli keluarga, ibu mereka hanya akan berkata ‘jangan’.
“Jika pemimpin tidak menyatakan sesuatu itu salah walaupun kita merasakannya sebagai kesalahan, kita tidak boleh menilainya sebagai perkara yang salah,” katanya menerusi sebuah podcast yang disiar semalam.
Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza turut menjelaskan, kepercayaan akidah adalah sesuatu yang tersembunyi dalam diri individu dan hanya diketahui apabila ia dinyatakan secara terbuka.
“Namun dalam kes GISB ini, ia diterjemahkan bukan sahaja dalam bentuk tindakan, tetapi imej perniagaan yang ditonjolkan mengaburi identiti sebenar mereka sehingga masyarakat membiarkan kumpulan tersebut membentuk komuniti.
“Kepercayaan mereka melibatkan tindakan yang dianggap mempunyai keberkatan seperti meminum ‘air berkat’ dari janggut, air basuhan kaki, atau tisu kerana mempercayai guru mereka mempunyai keberkatan.
“Perkara ini sudah tentu menjadi syirik, khurafat yang dahsyat. Kadang kala diwarisi daripada banyak suasana dan unsur ini ada dalam masyarakat Melayu.
“Tetapi apabila ia diambil secara berlebih-lebihan seperti dengan meminum air ini mendapat berkat, mendapat tongkat daripada Abuya boleh menghancurkan kuasa besar lain, ini bukan saja soal sesat, tetapi soal bodoh.
“Kepercayaan kultus ini apabila percaya tubuh guru ada keberkatan, itu sudah jadi syirik dan khurafat,” katanya.
Tambah beliau, prinsip perniagaan yang dibawa oleh GISB juga jelas menyimpang daripada prinsip ekonomi Islam.
“Di mana aspek ekonomi Islamnya jika pekerja dijadikan seperti hamba kerana bekerja tanpa gaji, menggunakan buruh kanak-kanak dan mempermainkan soal kebersihan dengan air berkat?” soal beliau. – 9 Oktober, 2024