KUALA LUMPUR – Gangguan operasi berlaku disebabkan tindakan seorang individu menceroboh masuk kawasan landasan antara Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni dan Stesen LRT KL Sentral pada jam 7.08 malam semalam.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan berkata, kakitangan Pusat Kawalan Operasi telah mengesan suspek menceroboh kawasan landasan itu menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di platform berkenaan.
Menurutnya, atas faktor keselamatan serta mengikut piawaian standard operasi (SOP), bekalan kuasa terpaksa dimatikan bagi membolehkan polis bantuan serta petugas stesen masuk ke kawasan landasan untuk mengesan suspek.
“Hasil siasatan mendapati tiada kelibat suspek ditemui setelah pemeriksaan landasan dijalankan beberapa kali oleh kakitangan operasi.
“Suspek dipercayai telah berjaya melarikan diri tanpa dikesan dan pasukan Polis Bantuan Prasarana telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Dang Wangi bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, perkhidmatan tren laluan Kelana Jaya kembali pulih sepenuhnya pada jam 8.01 malam dan kekerapan perkhidmatan tren diselaraskan secara berperingkat.
“Siasatan menyeluruh akan dijalankan bersama pihak berkuasa bagi menyiasat insiden pencerobohan itu dan langkah keselamatan dapat diperkemaskan bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang lagi,” katanya.
Susulan kejadian itu pasukan Polis Bantuan Prasarana membuat satu laporan polis di Balai Polis Jalan Dang Wangi bagi tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, di aplikasi X ramai pengguna merungut disebabkan perlu menunggu tren dari Stesen LRT Subang ke Stesen Universiti lebih dua jam selepas perkhidmatan tergendala. – 8 Oktober, 2024