KUALA LUMPUR – Grab Malaysia baru-baru ini meraikan kejayaan Kontinjen Olimpik dan Paralimpik negara susulan kejayaan cemerlang di Paris, sekali gus memberikan inspirasi kepada jutaan rakyat Malaysia.
Sebagai tanda solidariti, cek simbolik diserahkan kepada pemenang pingat bagi menghargai usaha keras dan kejayaan mereka.
Para pemenang pingat dianugerahkan GrabFood percuma selama setahun.
Selain itu, pemenang pingat emas, perak, dan gangsa masing-masing akan menerima 1 juta, 500,000 dan 250,000 GrabRewards.
Kesemua 110 jurulatih dan pegawai juga menerima baucar GrabFood bernilai RM100.
Selain meraikan kemenangan para atlet, majlis tersebut turut dihadiri Rakan Orang Kurang Upaya (OKU) Grab untuk beramah mesra dengan mereka.
Majlis ini memberikan peluang yang unik kepada Rakan Grab tersebut untuk berinteraksi dengan atlet-atlet negara, terutama atlet Paralimpik, yang kisah ketabahan dan ketekunan mereka mencerminkan perjalanan peribadi mereka sendiri dalam mengatasi cabaran.
Grab Malaysia kekal komited untuk menyokong komuniti OKU, dengan lebih 3,100 OKU di seluruh Asia Tenggara menjana pendapatan melalui platform Grab.
Adelene Foo, Pengarah Urusan Grab Malaysia, berkongsi,
“Kami amat berbesar hati untuk memberikan penghargaan ini kepada atlet Malaysia yang telah mewakili negara dengan penuh kebanggaan di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris.
“Prestasi luar biasa mereka di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris bukan sahaja menyalakan semangat inspirasi di kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga telah menyentuh hati Rakan OKU kami.
“Kisah ketabahan dan kegigihan mereka telah menjadi sumber kekuatan dan motivasi bagi Rakan OKU kami. Dan kami berasa sangat bangga untuk menyokong kejayaan mereka.”
Bagi rakan-pemandu Grab, Abdul Halim Hapiz, acara ini merupakan satu pengalaman yang amat istimewa.
“Peluang bertemu dan mendengar kisah perjuangan atlet-atlet ini adalah satu pengalaman yang paling berharga untuk saya.
“Kegigihan mereka mengingatkan kita bahawa walau apa pun halangan yang ada, kita pasti boleh menghadapinya dan membanggakan negara kita.”
Melalui acara ini, Grab Malaysia menegaskan komitmennya untuk menyokong komuniti di seluruh Malaysia, termasuk rakan Grab dan atlet-atlet negara.
Grab Malaysia juga berhasrat untuk terus memacu negara ke hadapan sambil membantu rakyat Malaysia mencapai impian mereka. – 7 Oktober, 2024