Rina tarik diri tanding Ketua Srikandi ‘tidak ada masalah antara kami’ kata Mas Ermieyati

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin sebaliknya menyifatkan Rina yang juga bekas Ahli Parlimen Titiwangsa sebagai berjiwa besar kerana memberi laluan kepadanya

7:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Mas Ermieyati Samsuddin yang menang tanpa bertanding sebagai Ketua Srikandi Bersatu menafikan wujud sebarang konflik antaranya dengan Datuk Seri Rina Harun yang tidak mempertahankan jawatan itu.

Bercakap kepada Scoop, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu sebaliknya menyifatkan Rina yang juga bekas Ahli Parlimen Titiwangsa sebagai berjiwa besar kerana memberi laluan kepadanya.

“Tidak ada masalah antara kami, ada beberapa kali bertemu dan berbincang tentang hala tuju dan masa depan Srikandi, mungkin keputusan untuk menarik diri dibuat beliau selepas menilai hasil perbincangan.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada beliau (Rina) yang berjiwa besar, tidak semua pemimpin ada keberanian sepertinya yang memberi laluan kepada saya untuk menerajui Srikandi.

“Pengunduran beliau juga tidak bermakna ada pihak yang menang atau kalah, tidak timbul perkara sebegitu, tetapi menunjukkan satu keberadaan dan kematangan Srikandi sewaktu dalam pemilihan itu.

“Malah ia satu pengorbanan yang harus dihargai semua terutama dalam Srikandi dan semestinya kita akan terus memastikan sayap wanita bersatu dalam keadaan baik, dan itu juga yang dimahukan beliau (Rina) untuk masa depan Srikandi supaya terus kekal harmoni,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mas Ermieyati berkata, beliau menyedari bakal menggalas tanggungjawab yang cukup sukar terutama dalam membawa suara pembangkang.

“Kita sedar hari ini kita masih pembangkang dan itu satu tanggungjawab yang cukup sukar, namun saya berharap dengan pengalaman dan pengetahuan yang saya ada dalam politik boleh digunakan untuk memantapkan lagi Srikandi.

“Menambah baik mana yang perlu, mempersiapakan ahli dan jentera parti bagi menghapari pilihan raya akan datang, ini yang cukup getir,” katanya.

Terdahulu Rina menarik diri daripada mempertahankan jawatan Ketua Srikandi pada pemilihan parti itu bagi penggal 2024-2027.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Saiful Adli Arshad berkata, bekas Ahli Parlimen Titiwangsa itu ada menghantar borang pencalonan namun kemudian memutuskan untuk menarik diri.

Difahamkan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu hanya mahu bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian Sepang.

Dalam pada itu ditanya sama ada pertandingan bagi jawatan Naib Presiden boleh mewujudkan perpecahan dalam parti, Mas Ermieyati berkata, menggalas jawatan penting bukan semata memenuhkan kerusi sebaliknya perlu menjalankan tanggungjawab sangat berat lagi sukar dalam menyusun strategi parti.

Atas dasar itu juga beliau kekal berpandangan pelan ‘kompromi’ dicadang Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai terbaik dalam memastikan suasana parti terus harmoni.

“..dan saya merasakan bahawa perlu mengekalkan dua naib presiden sedia ada, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin dan juga Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang berjiwa besar untuk berada dalam pimpinan utama parti.

“Mereka yang diletakkan di situ atas sebab tertentu, kebolehan, pengetahuan, pengalaman dan juga keberadaan mereka dalam Dewan Rakyat.

“Begitu juga dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang difahamkan akan dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu. Beliau tak boleh berada di pinggiran dah, perlu ada dalam tampuk kepimpinan parti,” katanya.

Enam calon akan bersaing merebut tiga jawatan naib presiden Bersatu pada pemilihan parti itu bulan depan.

Selain Ronald, Radzi dan Ahmad Faizal, tiga lagi calon yang turut bersaing ialah A’ziss Zainal Abiddin, Datuk Razali Idris dan Mohd Rafiq Abdullah. – 6 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related