BERBEKALKAN pengalaman selama tiga bulan melangsungkan projek rintis pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP), kerajaan dijangka melaksanakan dasar itu secara menyeluruh Oktober ini.
Pengenalan dasar baru ini akan menjadi pelengkap kepada inisiatif gaji yang sedia ada kini iaitu Perintah Gaji Minimum dan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti.
DGP merupakan satu dasar untuk meningkatkan gaji pekerja secara progresif, seiring dengan pertumbuhan produktiviti syarikat. Pendekatan ini tidak hanya sekadar menaikkan gaji, tetapi juga memastikan kenaikan tersebut selaras dengan peningkatan kemahiran dan produktiviti pekerja.
Untuk menilai ketersediaan dasar ini dan sistem yang dibangunkan serta menentukan sebarang penambahbaikan yang diperlukan, kerajaan telah memperkenalkan projek rintis DGP pada Jun lalu. Projek rintis itu mendapat sambutan yang menggalakkan di mana 1,500 peserta menyertai sesi Townhall yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada Jun lalu.
Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM50 juta untuk projek rintis DGP yang menyasarkan penglibatan 1,000 syarikat.
Pemberian insentif ini dijangka memberi manfaat kepada 20,000 pekerja tempatan yang bergaji antara RM1,500 hingga RM4,999. Ia merangkumi pekerja separa berkemahiran dan yang mempunyai pengalaman luas.
Pelbagai agensi kerajaan terlibat dalam sesi libat urus membabitkan wakil majikan dan pekerja yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dengan kerjasama kementerian dan agensi lain seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Kesatuan Hal Ehwal Pekerja (JHEKS) dan Kementerian Ekonomi.
Apa yang dilihat dengan jelas di sini ialah campur tangan kerajaan secara terus melalui DGP untuk meningkatkan gaji sektor swasta menunjukkan keprihatinan kerajaan Madani di bawah tadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini dilihat satu inisiatif yang tepat pada waktunya memandangkan peningkatan kos sara hidup tidak kira di bandar atau luar bandar.
Tidak seperti kakitangan kerajaan yang mendapat kenaikan gaji secara berkala, masih ramai pekerja swasta yang mengalami kenaikan gaji sederhana, perlahan atau terhenti walaupun sudah berpuluh-puluh tahun bekerja di syarikat yang sama.

Masih ingat lagi, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sewaktu membentangkan Kertas Putih DGP di Parlimen pada November tahun lalu, bahawa data kementerian menunjukkan golongan pekerja swasta mengalami ‘tekanan gaji’.
Mereka tidak tergolong dalam kalangan pekerja di peringkat bawahan yang disokong Dasar Gaji Minimum, ataupun di peringkat atasan yang sentiasa mendapat pertumbuhan gaji yang lebih baik.
Walaupun keadaan ini disedia maklum, namun mewajibkan majikan atau syarikat untuk menaikkan gaji pekerja tidak munasabah langsung kerana insentif kenaikan gaji dalam sektor swasta bergantung secara langsung kepada keuntungan syarikat.
Jenis perniagaan yang diceburi, kapasiti syarikat, lebih-lebih lagi mereka yang berasaskan industri kecil dan sederhana, serta tahap keupayaan pekerja, perlu dilihat secara menyeluruh sebelum kenaikan atau penstrukturan gaji boleh dibincangkan.
Maka, pengenalan DGP ini merupakan satu pelan yang baik dan lebih holistik dalam mengatasi isu pengagihan pendapatan yang tidak seimbang serta memberikan peluang untuk kenaikan gaji berdasarkan prestasi.
Di bawah DGP, pihak swasta yang menaikkan gaji untuk mematuhi tangga gaji yang ditetapkan oleh kerajaan layak mendapat insentif gaji progresif yang perlu dibayar kepada pekerja supaya kenaikan gaji itu ditanggung oleh kerajaan.
Insentif gaji di bawah dasar ini mengikut kadar dan kumpulan pekerja dimana ia berbeza mengikut kumpulan pekerja – sama ada mereka pekerja peringkat permulaan atau bukan peringkat permulaan.
Di bawah DGP, syarikat swasta akan mendapat insentif tunai sehingga maksimum RM200 sebulan bagi pekerja peringkat permulaan dan RM300 sebulan bagi pekerja bukan peringkat permulaan, selama setahun.
Menurut Rafizi, gaji permulaan mengikut kelayakan di bawah DGP antaranya seperti berikut, jurutera mekanikal (RM3,380), jurutera awam (RM3,115), akauntan dan juruaudit (RM3,280) dan juruteknik kejuruteraan awam (RM2,470).
Untuk senarai penuh gaji permulaan di bawah Dasar Gaji Progresif, boleh muat turun Buku Panduan Gaji Pokok Permulaan dan Kenaikan Tahunan di gajiprogresif.gov.my/
Secara kesimpulannya, DGP merupakan satu langkah positif untuk memperjuangkan nasib pekerja swasta terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Selain kenaikan gaji bagi pekerja serta motivasi untuk terus bekerja dengan bersungguh-sungguh, DGP juga dijangka memberikan manfaat kepada pihak majikan syarikat swasta dari segi peningkatan produktiviti pekerja yang boleh membawa kepada keuntungan yang lebih baik. – 4 Oktober, 2024