KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat permohonan maaf di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memfitnah bekas penasihat Datuk Seri Najib Razak, Habibul Rahman Kadir Shah, tujuh tahun lalu.
Syed Saddiq, 31, ketika membacakan pernyataan maaf itu berkata, dengan ikhlas hati memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Habibul Rahman, 68, selaku plaintif kerana membuat kenyataan fitnah dalam sidang media di Hotel Seri Pacific pada 2 Oktober 2017.
Beliau yang berdiri dalam kandang saksi berkata, kenyataan fitnahnya telah mencemarkan reputasi dan imej pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Habibul Rahman.
“Dalam sidang media itu, saya merujuk kepada ancaman yang dibuat terhadap diri saya dan keluarga menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 dan menegaskan bahawa ancaman itu benar-benar berlaku terhadap saya dan keluarga.
“Namun begitu, saya kemudiannya menerima maklumat lanjut dan kini menyedari bahawa ketika membuat kenyataan fitnah itu, saya disesatkan oleh beberapa pihak yang menyebabkan saya percaya bahawa apa yang saya alami pada tempoh itu adalah disebabkan oleh Habibul Rahman,” katanya.
Syed Saddiq selaku defendan berkata, dia kesal dan memohon maaf atas kenyataan fitnahnya sehingga menyebabkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada plaintif.
Beliau mengakui kenyataan fitnahnya mengenai Habibul Rahman timbul daripada maklumat yang mengelirukan yang disampaikan kepadanya tetapi kini beliau tahu maklumat itu adalah palsu dan tidak benar.
“Saya dengan setulus hati memohon maaf tanpa syarat kepada Habibul Rahman dengan harapan permohonan maaf ini dapat membersihkan nama baik beliau serta dapat memulihkan hubungan profesional dan hubungan peribadi di antara saya dan Habibul Rahman.
“Saya beraku janji bahawa saya tidak akan sama sekali mengulangi kenyataan fitnah dan menyinggung atau apa-apa kata kesat yang seakan-akan dengannya pada masa hadapan terhadap Habibul Rahman,” katanya.
Hakim Norakhmar Mohd Sani kemudian merekodkan penghakiman persetujuan berdasarkan permohonan maaf Syed Saddiq selaku defendan dan terma penyelesaian serta melapangkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan bersambung esok.
Selepas prosiding, Habibul Rahman berkata, kebenaran akhirnya terbukti dan beliau menerima permohonan maaf daripada ahli politik itu.
Pada 16 November 2021, Habibul Rahman memfailkan saman terhadap Syed Saddiq atas dakwaan memfitnah plaintif dalam satu sidang media yang dihadiri oleh pengamal media daripada pelbagai agensi berita.
Dalam sidang media itu, Syed Saddiq mendakwa terdapat konspirasi yang disokong oleh pemimpin parti yang tidak dinamakan untuk melemahkan Bersatu dengan ‘mengancam atau merasuah’ pemimpinnya.
Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau merancang, mengugut dan menyerang secara peribadi pemimpin pengasas Bersatu termasuk Syed Saddiq yang ketika itu Ketua Armada Bersatu. – 3 Oktober, 2024