KUALA LUMPUR – Parti Demokratik Progresif (PDP) menyifatkan Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros tidak tahu bersyukur apabila memperkecilkan sumbangan pengundi Cina dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota baru-baru ini.
Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kaum Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota kecewa apabila dipersalahkan Noor Azleen atas peratusan keluar yang rendah.
“Beliau seolah-olah tidak menghargai sumbangan pengundi Cina dalam PRK tersebut. Tiada ucapan penghargaan diberikan, sebaliknya masyarakat pula dipersalahkan dan ini membuatkan kaum Cina berasa amat kecewa.
“Kerajaan Perpaduan meletakkan harapan dan perhatian yang besar kepada PRK ini.
Walaupun terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang politik, namun matlamat kita adalah sama iaitu untuk mengekalkan kerusi milik kerajaan, dan itulah yang berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, selepas berakhirnya PRK Mahkota, beberapa pemimpin Umno termasuk Noor Azleen dilaporkan mempersoalkan sumbangan DAP dengan berkata hanya 34 hingga 36% sahaja pengundi Cina di DUN itu membuang undi.
Mengulas lanjut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata, kenyataan Ketua Pemuda Umno Johor itu bercanggah dengan prinsip Kerajaan Perpaduan dan seperti ingin menuding jari kepada masyarakat Cina.
“Saya juga hairan dari mana dia mendapat dakwaan bahawa peratusan keluar mengundi Cina hanya 34 hingga 36 peratus?
“Adakah beliau tidak dapat berfikir dengan waras, jika peratusan keluar mengundi kaum Cina begitu rendah, bagaimana Syed Hussien Syed Abdullah (calon BN) boleh memperolehi majoriti yang besar?,” soalnya.
King Sing mendakwa, realitinya peratusan keluar mengundi pengundi Cina pada PRK Mahkota ialah 53.6%, manakala peratusan keluar mengundi Melayu ialah 56.6%.
“Ini jauh daripada 36% seperti yang didakwa. Kenyataan melulu yang dibuat oleh Noor Azleen bukan sahaja menjadikan kaum Cina semakin dingin, malah secara tidak langsung menampakkan imejnya yang tidak profesional dan tidak matang.
“Sebagai Ketua Pemuda, kegagalan Noor Azleen untuk melakukan semakan fakta amat mengecewakan dan dikesali. Tindakan ini bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya sendiri, malah partinya juga akan turut terpalit.
“Jika Noor Azleen benar-benar bertanggungjawab atas segala tindakan yang dibuat, beliau harus memohon maaf kepada masyarakat Cina atas kenyataan yang telah dikeluarkan,” katanya. – 2 Oktober, 2024