Pelaburan RM27 bilion, bukti Oracle yakin potensi Malaysia: PM

Beliau berkata, pelaburan berjumlah AS$6.5 bilion (RM27 bilion) yang dibuat Oracle didukung dasar yang jelas dan kerjasama strategik Kerajaan Madani

3:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keputusan Oracle membuat pelaburan bagi membuka pusat pengkomputeran awan awam pertamanya di Malaysia membuktikan keyakinan syarikat teknologi utama dunia terhadap Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ia juga mencerminkan potensi Malaysia sebagai pintu masuk bagi infrastruktur awan dan menyokong pertumbuhan ekosistem kecederasan buatan (AI).

Beliau berkata, pelaburan berjumlah AS$6.5 bilion (RM27 bilion) yang dibuat Oracle didukung dasar yang jelas dan kerjasama strategik Kerajaan Madani.

“Ini dapat dilihat menerusi pelaburan-pelaburan terdahulu yang dibuat oleh Amazon Web Services, Microsoft dan Google.

“Keseluruhan projek yang diumumkan oleh syarikat-syarikat itu sehingga kini melibatkan pelaburan keseluruhan yang dianggarkan bernilai AS$16.9 bilion (RM70.3 bilion).

“Penting bagi tenaga kerja dan syarikat tempatan merebut peluang sebaiknya daripada pelaburan-pelaburan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, dalam beberapa siri perbincangan bersama pelabur termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut, beliau menekankan kepentingan perluasan manfaat jangka panjang kepada Malaysia.

“..termasuk pembangunan pusat kecemerlangan, fakulti AI dan pemerkasaan kumpulan masyarakat.

“Saya yakin dengan sokongan semua pihak, matlamat dan sasaran Ekonomi Madani akan dapat dicapai,” katanya.

Terdahulu, Oracle hari ini mengumumkan rancangan melabur lebih AS$6.5 bilion (RM27 bilion) bagi mewujudkan wilayah pengkomputeran awan awam di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI dan pengkomputeran awannya.

Dalam satu kenyataan, Oracle menjelaskan, wilayah pengkomputeran awan yang akan diwujudkan itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsinya di Malaysia memanfaatkan infrastruktur dan perkhidmatan AI dan memindahkan beban kerja yang penting kepada infrastruktur pengkomputeran awan Oracle (OCI). – 2 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

How will M’sia recoup US$248 mil from Riza Aziz after 1MDB suit withdrawal?: Guan Eng

Putrajaya, which entered a deal with Datuk Seri Najib Razak’s stepson as part of a global settlement on 1MDB asset recovery, must explain the public interest matter

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related