KUALA LUMPUR – Pergeseran dan cabar mencabar antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu dihentikan segera sekiranya parti berkenaan mahu meneruskan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Bercakap kepada Scoop, Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata mana-mana pemimpin yang mempunyai perselisihan dan salah faham peribadi diminta tidak menjadikan parti sebagai benteng.
Malah tegasnya, pergeseran dan cabar mencabar pasca pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota perlu dihentikan serta merta.
Semua pihak, katanya disarankan mengambil kemenangan di Mahkota sebagai ‘satu loncatan’ untuk terus bermuhasabah serta terus mempertingkatkan usaha memperbaiki parti demi keyakinan rakyat dan pada masa sama meletakkan perbezaan serta masalah silam di belakang.
“Umno Kedah percaya mana-mana salah faham dan perselisihan wajib diselesaikan segera mengikut diplomasi dan perundingan yang betul.
“Umno Kedah ingin menasihati agar mana-mana pemimpin untuk meletakkan pencapaian ‘rating’ peribadi di tepi dan pada masa yang sama, memposisikan Umno diunjuran paling atas dalam apa jua kenyataan dan tindakan.
“Tindakan meletakkan ‘rating’ peribadi ini dibimbangi hanya bersifat sementara dan hakikatnya tiada nilai tambah sebenar kepada parti,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub mencadangkan supaya satu persetujuan bersama dibuat untuk mengelak perbalahan itu berterusan.
Beliau berkata, Veteran Umno bimbang dengan perbalahan dalam kalangan pimpinan parti komponen Kerajaan Perpaduan sekarang yang boleh menegangkan hubungan antara parti anggota.
“Sekiranya ini berterusan maka ianya akan memberi kesan kepada penyediaan strategi untuk menghadapi PRU16.
“Pucuk pimpinan BN dan PH hendaklah membuat satu ketetapan dan kesepakatan dan mengarah semua kepimpinan semua peringkat mematuhinya.
“Antaranya dicadangkan supaya pemimpin DAP berhenti dari membangkit isu menyentuh agama Islam, raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang dipersetujui bersama sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Kenyataan yang berbentuk provokasi oleh pemimpin parti juga hendaklah dihentikan. Sekiranya terdapat rasa tidak puas hati maka ianya hendaklah disalurkan melalui pucuk pimpinan parti,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga bimbang sekiranya keadaan ini tidak terkawal maka kerjasama Kerajaan Perpaduan sekarang tidak panjang jodohnya.
“Perlu dingatkan kerjasama ini amat rapuh. Sekiranya hantukannya kuat maka ianya boleh pecah berderai,” katanya.
Sementara itu Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, sekiranya
PH dan BN ikhlas untuk berkerjasama, berhentilah daripada terus bertikam lidah, tembak-menembak, hentam menghentam antara satu sama lain.
Beliau memberitahu, hanya pembangkang yang mahukan kacau bilau dan meruntuhkan kerajaan sementara rakyat mahu melihat kerukunan dalam parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Justeru, PH dan BN perlu menstabilkan suhu politik. Tidak lain dan tidak bukan, supaya kerajaan yang ada boleh fokus pada agenda besar untuk memulihkan ekonomi negara.
“Kita tak boleh nafikan semua pihak telah berkerja keras menyumbang untuk kemenangan di DUN Mahkota. Jika ada kelemahan, buat post mortem dan selesaikan dalam semangat perpaduan.
“Saya lihat, pimpinan tertinggi PH-BN pun belum menyuarakan apa-apa lagi, yang di bawah sudah bergaduh ‘angkat kerusi dan meja’.
“Berhenti berbalah. Duduk semeja. Kenal pasti kekuatan, perbaiki kelemahan. Jangan kerana kita, rosak permuafakatan, terganggu usaha Kerajaan Perpaduan untuk mengukuhkan negara,” katanya.
Terdahulu Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, perbalahan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Naib Presiden DAP, Teresa Kok didakwa menyebabkan pengundi Cina pada PRK DUN Mahkota marah dan kecewa sehingga tidak keluar mengundi.
Beliau berkata, perbalahan itu menjadi faktor mendorong mereka untuk protes dan tidak menunaikan tanggungjawab itu sehingga peratusan pengundi Cina rendah.
Turut menjadi isu apabila Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa PH perlu sedar dan minta maaf kepada Umno atas segala tohmahan, tuduhan dan persepsi yang telah mereka cipta sejak berpuluh tahun lalu hingga menyebabkan parti keramat Melayu itu dipandang kotor oleh pengundi.
Namun Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau menegaskan, PH tidak perlu memohon maaf terhadap BN bagi menjernihkan hubungan selepas mereka menang besar di Mahkota. – 2 Oktober, 2024