KUALA LUMPUR – Isteri kepada bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin membuat laporan polis berhubung laporan Bloomberg mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa dan konspirasi berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap suaminya.
Toh Puan Na’imah Khalid membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini berkait laporan Bloomberg pada 26 September lalu.
Beliau mendakwa laporan Bloomberg itu jelas menunjukkan Daim dan beliau menjadi sasaran kepada siasatan bermotif politik dan tuduhan palsu didalangi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memanipulasi institusi negara dan badan penguatkuasa.
“Ia adalah satu rahsia terbuka bahawa Daim dan saya menjadi sasaran kepada siasatan bermotif politik dan tuduhan palsu yang didalangi Anwar.
“Pendedahan Bloomberg minggu lalu mengenai penyalahgunaan kuasa, konspirasi, dan usaha menutup kesalahan dalam kalangan tertinggi kerajaan adalah satu lagi titik perubahan yang serupa. Ia perlu disiasat.
“Kini, kami menuntut keadilan. Kami mahu siasatan jenayah terhadap salah guna kuasa, konspirasi dan perlakuan berunsur jenayah oleh Anwar.
“Ini adalah konspirasi untuk menyasarkan musuh politik dengan memanipulasi institusi negara dan badan penguatkuasa, seperti yang dibuktikan oleh pendedahan Bloomberg,” katanya kepada media selepas membuat laporan berkenaan.
Sumber dipetik Bloomberg berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memberitahu pegawai agensinya arahan menyiasat Daim, serta bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, daripada Anwar.
Menurut laporan itu juga, SPRM didakwa menerima arahan Anwar untuk tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya, Datuk Farhash Wafa Salvador berhubung dakwaan pemilikan saham dalam sebuah syarikat.
Susulan itu SPRM dalam satu kenyataan menafikan laporan media tersebut dan menyifatkannya sebagai tohmahan liar.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) juga menafikan dakwaan bahawa Anwar mengeluarkan arahan kepada SPRM dan ketua pesuruhjayanya untuk tidak menyiasat pemilikan saham berkenaan.
Awal tahun ini, Daim dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 atas kegagalan mematuhi syarat notis pengisytiharan aset.
Na’imah turut dituduh dengan peruntukan sama gagal mengisytiharkan pemilikan pelbagai syarikat, beberapa bidang tanah dan dua kenderaan. – 30 September, 2024