‘Kenapa GISB buat begini kepada kanak-kanak’ Mimbar pandang serius isu jenayah pada kanak-kanak

Menurut Mimbar, penderaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak yang disyaki terjadi di GISB amat mendukacitakan sedang kanak-kanak mempunyai hak yang perlu dihormati dan disantuni

3:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Isu melibatkan kumpulan Global Ikhwan Services & Holdings (GISB) terutama eksploitasi dan jenayah seksual ke atas kanak-kanak mendapat perhatian khutbah Jumaat di Selangor hari ini yang bimbang dengan nasib yang menimpa kanak-kanak terbabit.

Menurut Mimbar, penderaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak yang disyaki terjadi di GISB amat mendukacitakan sedang kanak-kanak mempunyai hak yang perlu dihormati dan disantuni.

‘‘Mereka mempunyai hak untuk hidup dan tinggal dalam suasana yang aman dan selamat serta jauh dari perlakuan jenayah yang jijik seperti pencabulan, liwat, dera, kahwin dan cerai secara paksa, buruh paksa, pemisahan anak-anak dari ibu bapa malahan disuruh mengaku sebagai anak yatim.

“Sesuatu yang tidak wajar apabila GISB tidak memelihara kanak-kanak dengan baik malah melakukan kezaliman terhadap mereka seperti menyekat mereka daripada mendapatkan pendidikan arus perdana bertujuan menyekat hubungan kanak-kanak itu dengan dunia luar,’’ demikian kandungan teks khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertajuk ‘Kenapa GISBH Buat Begini Kepada Kanak-Kanak?,’’.

Jelas Mimbar, kesalahan berhubung dengan amalan bertentangan dengan akidah agama Islam juga dikesan dan disyaki dilakukan di beberapa premis kumpulan GISB.

“Semua perbuatan jenayah dan kesalahan akidah ini mencemar nama baik dan kesucian agama Islam. Malah boleh tergelincir akidah dan batal shahadah seseorang muslim bila melakukan kesalahan akidah ini,’’ katanya.

Selain itu, kata mimbar, kumpulan itu juga berniat mengeksploitasi kudrat dan tulang empat kerat kanak-kanak ini demi kepentingan kumpulan mereka.

“Akhirnya sebilangan kanak-kanak tersebut akan menjadi penerus dan pendokong kesesatan akidah dan kepentingan duniawi barisan-barisan kemimpinan GISBH.

“Dengan kata lain, kanak-kanak dijadikan hamba demi ketuanan para pemimpinnya,’’ demikian kandungan teks khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertajuk ‘Kenapa GISBH Buat Begini Kepada Kanak-Kanak?,’’.

Mimbar turut meluahkan kekecewaan kerana ada kebanyakan rumah amal di bawah GISB yang dalam siasatan sudah lama beroperasi di beberapa negeri termasuk di Selangor.

Rumah amal itu pula, katanya tidak didaftarkan mengikut undang-undang dan kenapa ia boleh berlaku demikian rupa.

Ia turut mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah GISB dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah termasuk syariah, diarahkan tutup dengan segera.

Justeru, kata Mimbar, ibu bapa serta penjaga termasuk rumah amal bertanggungjawab untuk mencorak masa depan yang baik untuk anak-anak.

“(Malah) Bertanggungjawab mewujudkan kehidupan yang baik serta persekitaran yang selamat untuk anak-anak sepanjang masa,’’ katanya. – 27 September, 2024.

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related