Sultan Selangor perkenan permohonan maaf Sanusi, nasihat ‘jaga tutur kata, tatasusila’

Sultan Sharafuddin bertitah, kelakuan dan tutur kata yang baik amatlah penting untuk masa depan karier politik

4:31 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Menerusi kenyataan dikongsi Selangor Royal Office hari ini, baginda bertitah, tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya.

“Beta ingin menasihati Datuk Seri agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila.

“Jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali bila berada di dalam negeri Selangor.

“Beta tidak mahu rakyat khususnya di Negeri Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, kelakuan dan tutur kata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik.

“Sebagai seorang pemimpin, Datuk Seri harus memikirkan kesan yang akan diperolehi dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan.

“Akhir sekali Beta berharap semoga Datuk Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan di dalam melaksanakan tugas dan tanggung jawab,” titah baginda.

Semalam Sanusi sekali lagi mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Sharafuddin berhubung kenyataannya yang mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

Beliau yang juga Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN), berkata warkah permohonan itu sudah dihantar kepada baginda Sultan Selangor.

“Patik, Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor di atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor seperti telah dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Tuanku.

“Patik menyedari kata-kata patik menimbulkan rasa tidak selesa dan mengguris hati dan perasaan Tuanku dan patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut.

“Patik ingin menyembah maklum kepada Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini,” katanya.

Dalam ucapannya yang tular ketika kempen Pilihan Raya Negeri tahun lalu itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor berkait ucapan berbaur 3R ( kaum, agama dan raja). – 26 September, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related