Ringgit cecah paras paling kukuh sejak Jun 2021, naik 0.69% berbanding dolar AS

Ia didorong jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan melonggarkan lagi dasar monetarinya pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 8 November 2024

8:36 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ringgit naik kepada 4.1275/1310 berbanding dolar AS pada Rabu, mencatatkan paras paling kukuh sejak Jun 2021.

Mata wang tempatan meningkat 0.69% daripada 4.1550/1605 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mengekalkan prestasinya yang kukuh sepanjang hari, didorong oleh jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan melonggarkan lagi dasar monetarinya pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang pada 8 Nov 2024.

Beliau berkata pasaran menjangka penurunan kadar faedah sebanyak 50 mata asas seperti yang dapat dilihat daripada niaga hadapan kadar faedah.

Selain itu, People’s Bank of China (PBOC) mengumumkan penurunan kadar kemudahan pinjaman jangka sederhana untuk tempoh setahun daripada 2.30% kepada 2.00% untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

“Kerajaan China telah meningkatkan usahanya untuk mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.0% pada tahun ini.

“Ini akan membantu meredakan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi China yang lembap. Secara keseluruhannya, ringgit dilihat berada dalam kedudukan yang baik pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

Ringgit turut mencatatkan prestasi yang kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.6158/6197 daripada 4.6274/6335 semalam, naik berbanding pound kepada 5.5189/5236 daripada 5.5590/5663 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8625/8652 daripada 2.8796/8836. 

Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2121/2150 daripada 3.2244/2289 semalam dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.38/7.39 daripada 7.39/7.40. 

Ringgit turut naik berbanding rupiah Indonesia kepada 273.3/273.6 daripada 273.5/274.0 dan meningkat kepada 12.6158/6353 daripada 12.6426/6640 berbanding baht Thailand. – 25 September, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related