KUALA LUMPUR – Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD) kecewa kerana permintaan untuk mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif bagi membincangkan isu pembangunan tidak terkawal di ibu kota masih tidak terlaksana.
Pengerusinya, Tan Booi Charn ketika dihubungi Scoop berkata, ia adalah gesaan 74 persatuan daripada 10 konstituensi penduduk di ibu kota yang mahu isu melibatkan pembangunan di bandaraya ini dibincangkan segera.
Jelasnya, sehingga kini pihak berkaitan masih belum menjawab sebarang emel yang diajukan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kami dah ‘follow up’ dengan pejabat Datuk Bandar tapi masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada mereka.
“Dua emel yang dihantar bulan lalu dan bulan ini masih tiada jawapan.
“Kalau mereka ambil berat (mengenai masalah pembangunan tidak terkawal di Kuala Lumpur) sudah tentu mereka akan berjumpa kami dalam masa terdekat tapi bila lihat maklum balas sebegini, ia seakan-akan menunjukkan sebaliknya,’’ katanya.
Pada 10 September lalu, KLRA +SD menggesa semua projek pembangunan di ibu kota termasuk projek yang sudah menerima perintah pembangunan (DO) ditangguhkan selama dua tahun bagi membolehkan isu pembangunan yang tidak terkawal di bandaraya ini diselesaikan.
Cadangan itu bagi membolehkan pihak berkuasa mengkaji semula kesesuaian projek berlandaskan ciri-ciri pembangunan mampan, terutama projek besar berkepadatan tinggi, projek melibatkan pemusnahan kawasan hijau dan di tanah tinggi serta cerun curam
Mengulas lanjut, Booi Charn berkata, perkara melibatkan pembangunan tidak terkawal perlu diberi perhatian segera kerana ia melibatkan kesejahteraan semua penduduk di bandaraya ini.
Justeru, beliau mengharapkan pertemuan bersama Datuk Bandar dapat diadakan secepat mungkin bagi tujuan perbincangan bersama.
“Kalau pertemuan ini ditangguhkan, memang perancangan bandar yang warga kota inginkan tidak akan dapat dicapai,” katanya.
Pada 23 Ogos lalu, kejadian tanah mendap mengejutkan ramai di mana dalam insiden tersebut, seorang wanita warganegara India berusia 48 tahun, terperangkap dan tertimbus tanah jerlus sedalam lapan meter di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India.
Insiden ini menyebabkan kebimbangan penduduk ibu kota mengenai tahap keselamatan di bandaraya ini. -26 September, 2024