KUALA LUMPUR – Sebarang persoalan berkaitan fahaman Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISB) akan diputuskan oleh Majlis Raja-Raja, yang akan bersidang bulan hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, kertas kerja berkaitan GISB akan dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang dipengerusikan Datuk Nooh Gadut, bermula esok sehingga Khamis ini di Terengganu.
Jawatankuasa itu, katanya dianggotai oleh semua mufti-mufti di Malaysia.
“Selepas Jawatankuasa Muzakarah ini membuat keputusan, ia akan dibawa ke Majlis Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Timbalan Pengerusi yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudian ia akan dibawa ke Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada bulan 10 (Oktober) nanti.
“Dalam bulan 10 ini… kita dah boleh dapat keputusan perkenan. Saya tak boleh (komen lanjut) sebab ini semua bidang kuasa negeri, Jakim hanya menyelaraskan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Majlis Pra Pelancaran Tilawah dan Hafazan Al-quran Peringkat Antarabangsa Ke-64, di sini, hari ini.
Ditanya adakah Jakim akan menganjurkan program pemulihan akidah melibatkan bekas ahli GISB, Na’im berkata hal itu tertakluk kepada hasil keputusan jawatankuasa MKI terlebih dahulu.
“Jawatankuasa MKI akan mula bermesyuarat esok, kalau saya kata apa-apa (berkaitan GISB), nanti saya mendahului mereka.
“Nanti orang kata menteri (agama) pula yang keluarkan fatwa. Apa-apa kita tunggu keputusan jawatankuasa MKI terlebih dahulu,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dianggarkan terdapat kira-kira 10,000 ahli kumpulan GISB.
Pada sidang medianya hari ini, Razarudin turut memaklumkan sebanyak 153 akaun bank berkaitan GISB telah dibekukan melibatkan jumlah lebih RM800,000.
Baru-baru ini Jawatankuasa Fatwa Perlis mengisytiharkan kepercayaan dan ajaran dalam GISB sebagai sesat kerana ajaran yang dibawa adalah kesinambungan kepada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.
Isu itu turut mendapat reaksi daripada Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang bersetuju ia perlu dibincangkan oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI sebelum sebarang fatwa dibuat. – 23 September, 2024