Lindungi perniagaan GISB daripada tindakan terburu-buru, tidak adil: Takiyuddin

Berdasarkan kempen dan naratif negatif berkait kumpulan ini yang banyak tersiar di media sosial khasnya, PAS mahu tindakan segera dan tegas diambil secara cermat dan teliti

2:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Aspek positif kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISB) termasuk jaringan perniagaan yang luas perlu dipelihara dan dilindungi daripada tindakan terburu-buru dan tidak adil, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan

Menurut Takiyuddin, ia perlu dipelihara daripada tindakan yang mungkin berpunca daripada sentimen melulu, prasangka, persaingan perniagaan atau agenda politik tertentu pihak-pihak yang mahu menangguk di air keruh.

Sambil tidak menolak tindakan tegas ke atas pihak-pihak yang bersalah, Takiyuddin berkata, keghairahan untuk menghukum mereka tidak seharusnya memberikan kesan buruk ke atas kumpulan itu secara keseluruhannya.

Ia termasuk ahli yang tidak bersalah atau aspek aktiviti GISB yang sah, patuh undang-undang dan bermanfaat.

“PAS mengalu-alukan siasatan yang telus, terperinci dan profesional ke atas pelbagai dakwaan terhadap GISB mengikut undang-undang yang sesuai, sama ada melibatkan aspek kepercayaan dan pegangan keagamaan, isu-isu lain seperti amalan perniagaan, salah laku seksual, penganiayaan, perbuatan jenayah dan sebagainya.

“Namun berdasarkan kempen dan naratif negatif berkait kumpulan ini yang banyak tersiar di media sosial khasnya, yang mahu tindakan segera dan tegas diambil, PAS menggesa semua langkah diambil mestilah dibuat secara cermat dan teliti.

“Ia bagi memastikan tidak berlakunya pengabaian hak, ketidakadilan, dwistandard atau tindakan yang berlebihan-lebihan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 155 pengikut GISB, melibatkan 78 lelaki dan 77 wanita dalam Operasi Global (Op Global) Fasa 4 yang dilancarkan di seluruh Semenanjung.

Dalam operasi sama, seramai 186 mangsa diselamatkan iaitu 102 lelaki dan 85 wanita termasuk kanak-kanak yang tular di media sosial yang dirotan seorang lelaki ahli GISB.

Pada Jumaat, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata ia juga adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Takiyuddin turut memaklumkan PAS mengikuti rapat perkembangan siasatan terhadap GISB berkait beberapa isu termasuk fahaman salah dan eksploitasi kanak-kanak, yang antaranya melibatkan polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pihak berkuasa agama negeri-negeri. – 22 September, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related