Imigresen laksana pusingan kerja segera pegawai, langkah tangani ‘counter setting’ di KLIA

Langkah itu perlu bagi menutup ruang dan peluang bagi pegawai memanipulasi dan mengambil kesempatan di atas ruang-ruang yang ada

5:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) akan melaksanakan pusingan kerja dengan kadar segera membabitkan ketua, penyelia dan pegawai jabatan yang telah berkhidmat lebih dari tiga tahun.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia antara enam langkah pertama tindakan reformasi proses kerja dalam menangani modus operandi ‘counter setting’ di pintu pemeriksaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sebagai permulaan, JIM akan melaksanakan enam langkah iaitu pertama, pusingan kerja untuk ketua, penyelia dan pegawai akan dilaksanakan dengan segera untuk pegawai yang telah berkhidmat lebih dari tiga tahun.

“Pegawai-pegawai berkaitan telah dikenalpasti dan arahan pertukaran akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan operasi harian di KLIA tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, langkah kedua, Prosedur Operasi Standard (SOP) meliputi aspek pengurusan kawalan keselamatan pintu masuk, pengurusan cap keselamatan dan pengurusan pemeriksaan pelawat akan disemak dan ditambah baik.

“Langkah itu perlu bagi menutup ruang dan peluang bagi pegawai memanipulasi dan mengambil kesempatan di atas ruang-ruang yang ada,” katanya.

Shamsul Anuar berkata, ketiga JIM akan meningkatkan penyeliaan dan pemantauan termasuk pemeriksaan mengejut ke atas ketua-ketua kumpulan dan pegawai bagi memastikan pematuhan arahan yang berkuat kuasa yang akan dilaksanakan secara berterusan oleh pegawai integriti dan penyelia. 

“Keempat, menambah baik sistem bagi membolehkan pemantauan dibuat ke atas transaksi yang dilakukan secara harian bagi mengesan transaksi-transaksi yang mencurigakan.

“Kelima, mempercepatkan proses pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi dengan visual dan audio di lokasi-lokasi strategik bagi pemantauan berterusan di bilik kawalan,” katanya.

Shamsul berkata, langkah keenam  JIM akan meningkatkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan lain-lain agensi dari masa ke semasa. 

“KDN dan JIM sangat serius dalam membasmi kegiatan ‘counter setting’ dan tidak akan melindungi mana-mana yang terlibat dalam salah laku,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan seorang pegawai penguatkuasa Imigresen ‘berpengaruh’ yang menjadi dalang utama sindiket membawa masuk warga asing menerusi ‘counter setting’ atau laluan kaunter khas dan mengawal hampir 50 pegawai lain, akan didakwa awal bulan depan.

Beliau berkata, individu berusia awal 40-an itu telah berkhidmat dalam agensi tersebut sejak 20 tahun lalu dan ditahan bersama 49 pegawai lain atas kesalahan sama menerusi Op Setting yang dijalankan baru-baru ini.

Azam turut menyenaraikan 11 masalah dan kelemahan utama membabitkan Jabatan Imigresen sehingga membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’. – 21 September, 2024

Topics

 

Hangat

DBKL slices up Havoc Food Festival in Setapak as traffic complaints boil over

Nik Nazmi steps in after residents complain of congestion, authorities shut down unlicensed event

In latest book ‘Saving the Planet’, Nik Nazmi makes urgent call for climate action

New book offers a Malaysian perspective on the global environmental crisis, highlighting economic and social stakes of climate change

Sports budget allocation: is popularity winning over performance in 2025 funding?

As RM15 million goes to football and RM20 million to e-sports, critics question whether funding priorities reflect merit or strong networks in Malaysian sports

Related