Bajet 2025: Beri pelepasan cukai khas untuk galak pelancongan domestik, kata persatuan pelancongan

Pelepasan khas ini boleh menggalakkan rakyat mengutamakan dan menikmati keindahan serta kepelbagaian destinasi pelancongan dalam negara

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar mempertimbangkan untuk mengembalikan pelepasan khas cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pelancongan domestik sehingga RM1,000 pada pembentangan Bajet 2025.

Bercakap kepada Scoop, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berkata, ia bagi terus menggalakkan rakyat mengutamakan dan menikmati keindahan serta kepelbagaian destinasi pelancongan dalam negara.

Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berkata jika diberi insentif mungkin akan berkurang rakyat pergi ke negara jiran terutamanya Selatan Thailand dan pastinya mereka habiskan dahulu bercuti dalam negara. – Gambar Facebook, 21 September, 2024

“Kenapa nak bising bila orang Malaysia berpusu-pusu ke Selatan Thailand untuk bercuti, kalau tengok kat Bandung pun penuh juga orang Malaysia, Jogjakarta pun begitu.

“Kita tak sepatutnya soal kenapa ramai orang Malaysia keluar, itu hak mereka untuk bercuti. Dalam belanjawan sebelum ini, tidak ada insentif kalau melancong dalam negara.

“Jadi jika diberi insentif mungkin akan berkurang rakyat pergi ke negara jiran terutamanya Selatan Thailand dan pastinya mereka habiskan dahulu bercuti dalam negara.

“Seharusnya kerajaan pertimbang untuk belanjawan 2025 supaya dapat dimasukkan (pemberian) pelepasan khas cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pelancongan domestik ini, kalau boleh dinaikkan hingga RM2,000,” katanya kepada Scoop.

Kerajaan pada pembentangan Bajet 2022 lalu memberikan pelepasan khas cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pelancongan domestik sehingga RM1,000 yang dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022.

Terdahulu hampir 100,000 pelancong Malaysia memanfaatkan hujung minggu yang panjang sempena Hari Malaysia untuk bercuti di Selatan Thailand.

Difahamkan kebanjiran rakyat Malaysia itu menyumbang lebih 1 bilion Baht (RM128 juta) kepada ekonomi tempatan.

Presiden Persatuan Hotel Hat Yai Songkhla Sittipong Sitthipatprapha berkata, lebih 36,000 pelancong Malaysia memasuki wilayah Songkhla melalui tiga pintu masuk utama iaitu Sadao, Ban Prakob, dan Padang Besar pada 14 September, dengan kesesakan lalu lintas dilaporkan seawal 5 pagi hingga 11 malam, terutamanya di kawasan Hat Yai.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Leong Hoon Min berkata, trend rakyat Malaysia bercuti ke Selatan Thailand itu akan berterusan, namun ia wajar menjadi pemangkin pemain industri untuk mempelajari cara kreatif negara jiran dalam menarik pelancong.

Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Leong Hoon Min berkata, trend rakyat Malaysia bercuti ke Selatan Thailand itu akan berterusan namun ia wajar menjadi pemangkin pemain industri mempelajari cara kreatif negara jiran dalam menarik pelancong. – Gambar Bernama, 21 September, 2024

“Ia sesi pembelajaran kepada pemain industri pelancongan dalam negara untuk melihat
apakah kekuatan dan kelemahan kita.

“Ambil sebagai panduan dan tunjuk ajar bagi masa depan industri, ada beranggapan pergi Thailand kos lebih murah, sebenarnya tidak, cuma mereka menawarkan produk-produk yang mampu.

“Banyak kategori produk untuk pelancong, ada untuk bajet traveler, pertengahan dan golongan ‘atasan’, dengan RM100 pun kadang sudah boleh dapat hotel yang selesa, jadi kenapa kita tidak boleh buat sebaik Thailand,” soalnya.

Tambah beliau, kerajaan juga wajar menimbang pengecualian pembayaran cukai pelancongan oleh semua agensi pelancongan dan pengiat industri pelancongan yang berdaftar.

“Mita telah hantar surat kepada Menteri Pelancongan minggu lalu, supaya dapat kecualikan cukai pelancongan untuk agensi pelancongan yang membawa masuk pelancong luar selama lima tahun.

“Contoh kalau ada agensi bawa pelancong luar lebih 750 orang, jadi mereka boleh dapat pengecualian cukai, ini juga satu usaha dalam menarik lebih ramai pelancong menjelang Tahun Melawati Malaysia 2026,” katanya. – 21 September, 2024.

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

The ‘powerful’ fallacy of MCMC – Wong Chun Wai

New regulations are needed to police rampant crimes committed on social media platforms used by millions of Malaysians

Related