Lokasi serangan bukan kawasan penugasan pasukan MALBATT: Menteri Pertahanan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pasukan MALBATT 850-11 itu sememangnya mempunyai tugasan untuk hadir mesyuarat di kawasan berkenaan

3:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kawasan dilalui dua kenderaan Tentera Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Batalion Malaysia (MALBATT 850-11) sebelum diserang sekumpulan orang awam di Lubnan kelmarin bukan kawasan penugasan pasukan terbabit.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kawasan laluan di Bandar Tyre itu di bawah penugasan pasukan tentera pengaman Itali.

“Memang ada insiden kereta peronda MALBATT Malaysia dibaling batu hingga menyebabkan beberapa kerosakan.

“Kawasan dilalui kereta peronda MALBATT Malaysia itu bukan kawasan yang ditugaskan, tetapi kerana ada mesyuarat dalam kawasan itu.

“Kawasan itu dipertanggungjawabkan kepada pasukan pengaman Itali, memang di kawasan itu penduduk sangat ‘hostile’ kepada pasukan pengaman PBB.

“Apabila tahu bahawa ini pasukan Malaysia baharulah tindakan itu dihentikan dan semua anggota dalam keadaan selamat,” katanya kepada media pada program Mini Karnival Tentera Darat 2024 di Kluang, Johor hari ini.

Terdahulu Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan memaklumkan, tiga pegawai serta tujuh anggota lain-lain pangkat berada dalam dua kenderaan Fitted For Radio (FFR) MALBATT 850-11 itu ketika kejadian pada jam 5.32 petang waktu tempatan (11.32 malam waktu Malaysia).

Menurutnya, semua mereka dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah MALBATT 850-11 setelah selesai melaksanakan penugasan force protection di Kem Shama, Markas UNIFIL.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pasukan MALBATT 850-11 itu sememangnya mempunyai tugasan untuk hadir mesyuarat di kawasan berkenaan.

“Kebiasaan untuk pasukan pergi ke kawasan lain bagi bermusyuarat, apa pun kena lebih berhati-hati lepas ini.

“Mungkin kena letak bendera Malaysia apabila bergerak keluar dari kawasan yang kita jaga,” katanya.

Ditanya sebarang tindakan susulan pihaknya berhubung kejadian, beliau berkata, kementerian akan menunggu laporan rasmi daripada pasukan pengaman di sana terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan lanjut. – 20 September, 2024

Topics

 

Hangat

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Lim Guan Eng faces party rebellion as grassroots call for his ouster

Party insiders say growing dissent over Lim’s leadership, with critics blaming him for internal strife and strategic missteps

MACC raids home of Ismail Sabri’s ex-aide, over RM100 mil cash seized

Source says authorities also confiscated documents, jewellery, electronic devices

Related