KUALA LUMPUR – Sasaran PAS bagi mendapatkan 60 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tidak mustahil meskipun ia kelihatan mencabar dan boleh dicapai jika parti itu mengekalkan momentum sokongan dan menembusi kawasan baru.
Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, walaupun sasaran itu dilihat sebagai cita-cita besar, namun ia menunjukkan keyakinan mereka terhadap sokongan akar umbi yang kian kukuh terutama di kawasan Pantai Timur dan utara Semenanjung.

“Pada PRU15, PAS berjaya meraih sejumlah kerusi Parlimen yang signifikan melalui gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Sasaran PAS untuk PRU16 ini pastinya akan memerlukan strategi yang lebih menyeluruh termasuk pengukuhan sokongan di kawasan luar tradisi parti itu seperti di bandar dan separa bandar,’’ katanya kepada Scoop.
Baru-baru ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Jawatankuasa Pilihan Raya Pas Pusat menetapkan 60 kerusi Parlimen untuk dimenangi parti itu pada PRU16.
Beliau berkata, PAS telah mengarahkan ahli dan pemimpin peringkat negeri melaksanakan 11 agenda bertindak untuk meneliti persempadanan dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelang PRU16.
Dalam pada itu, Awang Azman berkata, beliau melihat perebutan kerusi bakal timbul antara Pas dan Bersatu, lebih-lebih lagi di kawasan yang mempunyai potensi kemenangan tinggi untuk PN.
“Pembahagian kerusi antara PAS dan Bersatu pada PRU15 dilihat berjaya mengelakkan pertembungan tiga penjuru secara besar-besaran namun dengan sasaran PAS bagi mendapatkan lebih banyak kerusi, ia mungkin menimbulkan tekanan terhadap formula pembahagian kerusi sedia ada.
“Jadi untuk mengelakkan konflik ini, PN perlu mempunyai mekanisme rundingan yang jelas dan efisyen bagi memastikan kedua-dua parti dapat mencapai persetujuan yang memanfaatkan gabungan,” katanya.
Sementara itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan pula berpendapat PAS perlu menukar kepimpinan tertinggi parti jika ingin kekal relevan.
Menurutnya, PAS kelihatan terdesak ingin meraih sokongan pengundi bukan Islam namun tidak mempunyai strategi yang bijak dalam ‘memancing’ sasaran tersebut.

“Bila ada perwakilan dalam muktamar baru-baru ini cakap ahlinya perlu berkahwin dengan bukan Melayu untuk raih undi, itu sudah menunjukkan PAS kurang idea dan terdesak untuk dapatkan undi bukan Melayu tetapi tiada strategi.
“Secara tidak langsung ini mempamerkan kepimpinan di atas (apabila tidak menegur tindakan perwakilan tersebut), kalau yang di atas tidak menunjukkan strategi, maka turunnya kelembapan (kelemahan) itu kepada orang di bawah.
“Jadi, bagi saya PAS memerlukan nafas baharu (pemimpin baru) yang lebih profesional untuk menarik pengundi sasaran mereka selepas ini,” katanya. – 19 September, 2024