KUALA LUMPUR — Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju mengekalkan dasar sedia ada berkaitan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) iaitu bersifat sukarela, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, dasar sedia ada ini kekal dan terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal berkata dasar sedia ada yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam (Main) atau Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) adalah bersifat sukarela sejak ia mula dilaksanakan pada 1974 dan diperkukuh dengan Akta Perihal Dagangan 2011.
“Melalui SPHM yang diperolehi tersebut, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang SPHM atas komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, kajian berhubung isu pensijilan halal kini hampir siap dan akan dibentangkan pada Kabinet hari ini.
Isu itu mencetuskan kontroversi apabila Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dilaporkan berkata pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran dan bukan secara paksa.
Teresa kemudiannya diminta hadir di ibu pejabat polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya berkait isu sijil halal selepas polis menerima 50 laporan.
Mengulas lanjut, Zahid berkata bagi menggalakkan pihak industri memohon SPHM khususnya dalam kalangan industri mikro dan kecil, pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi pembimbing usahawan di peringkat Persekutuan, negeri dan swasta menawarkan pelbagai insentif dan inisiatif berbentuk latihan dan bimbingan serta geran kepada pihak industri untuk memastikan produk atau perkhidmatan ditawarkan boleh dipersijilkan halal.
Jakim juga, katanya telah memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia untuk mempercepat pengurusan pensijilan halal di negara ini dalam tempoh 30 hari.
Beliau berkata berdasarkan statistik, antara Januari hingga Julai lepas, sebanyak 96%s permohonan menerusi inisiatif berkenaan telah berjaya diuruskan dalam tempoh tersebut. – 18 September, 2024