Arul Kanda tidak tahu kewujudan pelaburan ‘1MDB’, kata Tony Pua

Tony Pua, 52, yang dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2018, berkata beliau menghadiri pertemuan dengan wakil 1MDB untuk menentukan status kewangan dana kekayaan negara itu

8:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy tidak pasti tentang nilai ‘pelaburan’ 1MDB atau sama ada ia benar-benar wujud.

Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Pua Kiam Wee, atau lebih dikenali sebagai Tony Pua, berkata demikian semasa memberi keterangan sebagai saksi kedua plaintif dalam saman US$6.59 bilion yang difailkan oleh 1MDB terhadap Arul Kanda dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Tony Pua memberi keterangan sebagai saksi kedua plaintif dalam saman US$6.59 bilion yang difailkan oleh 1MDB terhadap Arul Kanda dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah. – Gambar fail Scoop, 17 September, 2024

Tony Pua, 52, yang dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2018, berkata beliau menghadiri pertemuan dengan wakil 1MDB untuk menentukan status kewangan dana kekayaan negara itu.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, menteri baharu (Lim) mengadakan mesyuarat pada 22 Mei 2018 dengan wakil 1MDB untuk menentukan status kewangan 1MDB. Saya juga menghadiri mesyuarat ini dengan Menteri.

“Apabila ditanya mengenai pelaburan 1MDB, Arul Kanda mendakwa semua hal berkaitan kewangan dikendalikan dengan ketat oleh Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir dan beliau sama sekali tidak pasti tentang nilai ‘pelaburan’ ini atau sama ada ia benar-benar wujud,” katanya sambil menambah Lim telah memaklumkan perkara tersebut dalam kenyataan media mengenai hasil mesyuarat itu.

Saksi itu berkata pada Jun 2018, 1MDB telah menamatkan perkhidmatan Arul Kanda berkuat kuasa serta-merta atas alasan pelanggaran kontrak dan tugas fidusiari sebagai CEO 1MDB.

Arul Kanda ialah CEO 1MDB dari 2015 hingga 2018.

Pada Mei 2021, 1MDB telah memfailkan saman terhadap Mohd Irwan dan Arul Kanda atas dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi yang menyebabkan syarikat mengalami kerugian berjumlah US$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, kemudian ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited yang dikatakan boleh terdapat dalam Dana Bridge Global.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyalahgunakan wang US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company pada 9 Mei 2017.

1MDB menuntut ganti rugi sebanyak US$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan berhubung pelanggaran ini dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan perjanjian pelanjutan pekerjaan.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan diteruskan esok. – 17 September, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related