Pereka dalaman dibunuh, 20 kesan tikaman pada badan

Mangsa adalah seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun, bekerja sebagai pereka dalaman separuh masa dan tinggal berseorangan di rumah yang baru dibelinya itu pada tahun lalu

8:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang pereka dalaman ditemui mati dengan 20 kesan tikaman pada anggota badannya di sebuah apartmen di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, jiran mangsa menghubungi polis kira-kira jam 1 pagi selepas terdahulu mendengar suara pergaduhan antara mangsa dan seorang individu, beberapa jam sebelum itu.

“Pengadu memaklumkan tidak melihat jirannya itu keluar dari rumah selepas pergaduhan dan kemudian bertindak menghubungi pihak polis.

“Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ke lokasi dan hasil pemeriksaan, menemui mangsa sudah meninggal dunia akibat ditikam dipercayai oleh individu yang belum dapat dikenal pasti.

“Mangsa pula seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun, bekerja sebagai pereka dalaman separuh masa dan tinggal berseorangan di rumah itu yang baru dibelinya pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulnizam berkata, hasil pemeriksaan awal, kita menganggarkan terdapat 20 kesan tikaman di beberapa anggota badan mangsa dengan lima kesan tikaman ditemui pada sebelah kiri rusuk yang dipercayai menyebabkan kematiannya.

“Enam lagi tikaman ditemui pada bahagian kepala dan sembilan tikaman pada kedua-dua pergelangan tangan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya.

Beliau berkata, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan polis.

“Maklumat boleh disalurkan terus dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – 16 September, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related