KUALA LUMPUR – Laluan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu, telah ditutup sepenuhnya susulan cuaca buruk sejak pagi tadi dengan semua pendaki diarahkan turun serta-merta.
Sabah Park dalam kenyataannya memaklumkan, laluan itu ditutup pada 8.43 pagi tadi akibat hujan lebat, cuaca berangin, berkabus dan air deras yang menuruni laluan pendaki di sayat-sayat.
“Kesemua pendaki yang telah melepasi laluan ini diarahkan turun serta-merta dan selamat tiba di Panalaban, yang diiringi oleh tiga petugas SAR Taman,’’ katanya.
Sabah Park turut memaklumkan, taman-taman Sabah amat komited dan siap siaga dalam memantau keselamatan pendaki Gunung Kinabalu, tidak kira dalam apa juga keadaan dan waktu.
Ia bagi mengelakkan perkara tidak diingin berlaku sepanjang tempoh pendakian.
Hujan lebat mengakibatkan permukaan gunung menjadi sangat licin sekali gus boleh menyebabkan pendaki hilang keseimbangan atau berisiko untuk jatuh dan cuaca buruk juga boleh menyebabkan kabus tebal selain mengurangkan jarak pandangan.
Sebelum pandemik Covid-19, Sabah Park mengeluarkan 185 permit kepada pendakisehari namun kini hanya 163 permit dikeluarkan sejak 25 Januari 2023. – 13 September, 2024