[KEMAS KINI] Op Global: 402 kanak-kanak di 20 rumah amal diselamat, 171 individu ditahan: Razarudin

Hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak yang juga penghuni di rumah amal itu

4:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis menyelamatkan 402 kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan menerusi ‘Op Global’ hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun.

Beliau berkata, polis turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian membabitkan 66 lelaki dan 105 perempuan berusia 17 hingga 64 tahun.

“Hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak yang juga penghuni di rumah amal itu.

“Semua mangsa kanak-kanak yang diselamatkan akan menjalani saringan awal pemeriksaan kesihatan di fasilti disediakan sebelum proses dokumentasi akan dilaksanakan di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur.

“Proses ini dijangka mengambil masa 14 hari namun tertakluk kepada keperluan lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.

Razarudin berkata, berdasarkan siasatan mendapati modus operandi dilakukan ialah mangsa diajar dan dididik dan seterusnya diliwat oleh penjaga dan kemudian dipaksa untuk meliwat penghuni kanak- kanak yang lain.

Beliau berkata, mangsa yang tidak sihat tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal.

“Mangsa kanak-kanak dan sentimen agama digunakan untuk menagih simpati bagi mendapatkan sumbangan.

“Siasatan turut mendapati objek yang dipanaskan turut digunakan bagi mencederakan mangsa sebagai tanda menghukum atas kesilapan yang dilakukan.

“Selain itu menyentuh tubuh badan mangsa dengan alasan melakukan rawatan secara perubatan Islam,” katanya.

Tambah beliau, operasi Op Global itu dilakukan susulan laporan polis yang diterima pada 2 September lalu, berkaitan pengabaian serta penganiayaan, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di Port Dickson, Negeri Sembilan dan beberapa laporan selepas itu.

Katanya, pihaknya mengesyaki terdapat pembabitan syarikat terkenal berkait produk Islam dalam kegiatan pemerdagangan orang.

“Bertindak atas maklumat itu, pihaknya membuka lapan kertas siasatan, masing-masing empat di Negeri Sembilan dan Selangor.

“Empat kertas siasatan yang dibuka di Negeri Sembilan telah dirujuk ke pejabat Peguam Negara .

“Selain itu arahan lanjut untuk melengkapkan tiga kertas siasatan manakala satu kertas siasatan telah mendapat arahan pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Razarudin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017; Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 serta 14 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Manakala reman enam suspek membabitkan ustaz, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian dibenarkan sehingga 12, 13 dan 15 September ini,” katanya. – 11 September, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related