Sijil halal: ‘Siapa mula-mula cetus kontroversi, Teresa atau Menteri Agama’ soal Hassan Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata kajian menyeluruh mengenai cadangan mewajibkan pensijilan halal belum dibuat secara tuntas malah masih belum dibawa ke Kabinet

3:08 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Siapa sebenarnya yang mula-mula mencetuskan kontroversi dalam isu pensijilan halal? Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok atau Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Mohd Naim Mokhtar?.

Itu persoalan dilontarkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang mendakwa Teresa hanya memberikan satu reaksi terhadap satu dasar kerajaan yang masih baharu dibincang di peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata, kajian menyeluruh mengenai cadangan mewajibkan pensijilan halal belum dibuat secara tuntas malah masih belum dibawa ke perbincangan Kabinet.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mendakwa Teresa Kok hanya memberikan satu reaksi terhadap satu dasar kerajaan yang masih baharu dibincang di peringkat Jakim. – Gambar PKR, 10 September, 2024

“Kenyataan Teresa Kok didakwa satu kesalahan di bawah 3R (agama, bangsa dan raja) kerana dianggap menimbulkan keresahan dan kegentaran serta kemaraham awam di kalangan orang Islam.

“Maka kita ingin bertanya bagaimana dengan statement Dr Mohd Naim Menteri Hal Ehwal Agama tentang satu cadangan yang belum lagi diputuskan oleh Kabinet yang jelas telah menimbulkan keresahan, kegentaran dan kemarahan sesetengah orang bukan Islam? 

“Adakah kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama itu tidak termasuk dalam kategori pelanggaran 3R?

“Adakah hanya apabila orang Islam berasa resah, gentar dan marah maka satu pelanggaran 3R berlaku? Adakah sebaliknya jika orang bukan Islam merasa resah, gentar dan marah maka pelanggaran 3R tidak berlaku?

“Adakah wujud sistem hukum dua darjat di Malaysia yang kita cintai ini?,” soalnya.

Hassan berkata, beliau perlu menyatakan dengan jelas kerana sebagai seorang Islam yang menganggap isu halal dan tidak halal dalam apa juga urusan hidup termasuk soal makan minum adalah relevan di Malaysia yang rakyatnya pelbagai kaum dan agama.

“Tetapi kita mesti jujur dan adil. Tujuan tidak menghalalkan cara. Tujuan cadangan Jakim seperti yang diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Agama adalah baik.

“Tetapi cara pengumuman yang mengejut dan terburu-buru itu adalah salah dan tidak profesional bagi seorang Menteri Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Hal Ehwal Agama sepatutnya perlu mengarahkan kajian lengkap tentang cadangan mengenakan dasar pensijilan halal yang mandatori di kalangan syarikat restoran bukan Islam dan membawanya ke mesyuarat Kabinet.

Perkara itu, ujar beliau boleh dibincangkan dengan akal yang sihat, mendalam, rasional dan tidak mengikut sentimen dalam kalangan anggota Kabinet yang Islam serta bukan Islam.

Jika cadangan itu dipersetujui Kabinet, maka ia boleh melibatkan Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang. 

“Selepas itu Menteri Hal Ehwal Agama buatlah libat urus dengan pertubuhan agama sama ada Islam dan bukan Islam. Juga bawalah proses libat urus dengan persatuan peniaga restoran bukan Islam sebagai pihak yang betul-betul terlibat.

“Jika isu undang-undang beres dan semua pihak yang terlibat faham akan tujuan peraturan yang baru itu, kemudian bawalah semula ke Kabinet supaya digubal satu rang undang-undang berkenaan hal pensijilan halal yang mandatori.

“Memang leceh, memang lambat, memang melibatkan banyak kerja. Tetapi inilah yang dipanggil tata kelola urusan kerajaan yang baik,” katanya. – 10 September, 2024

Topics

 

Hangat

RM13 bil Penang Mutiara Line LRT to boost connectivity, set for 2031 completion

The 29.5-kilometre line with 21 stations aims to enhance travel across Penang and drive economic growth

DBKL slices up Havoc Food Festival in Setapak as traffic complaints boil over

Nik Nazmi steps in after residents complain of congestion, authorities shut down unlicensed event

No instant KPI: BAM gives Herry IP time to shape Malaysia’s doubles future

BAM allows new men’s doubles head coach Herry Iman Pierngadi time to familiarise himself with the players, culture before expectations are defined

Related