KUALA LUMPUR – Kerja-kerja baik pulih yang sedang diselenggara oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta agensi berkaitan di sekitar lokasi tanah mendap di Jalan Masjid India, di sini, diharapkan dapat kembalikan keyakinan orang ramai untuk membeli-belah di situ.
Ini kerana, kata Setiausaha Persatuan Perniagaan Masjid India (MIBA), Datuk Siraj Deen kepada Scoop, masih ada yang takut untuk ke kawasan sekitar Jalan Masjid India meskipun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan kawasan tersebut selamat.
“Dalam pertemuan baru-baru ini, DBKL bagi jaminan kawasan itu selamat dan mereka juga maklumkan sudah memulakan proses pemeriksaan, pemetaan dan sebagainya bagi membaik pulih struktur jalan raya di sini,’’ katanya ketika dihubungi Scoop.
Siraj mengulas mengenai pertemuan tertutup bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta persatuan-persatuan peniaga di kawasan terbabit.
Pertemuan tersebut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran; Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun; Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; wakil Indah Water Konsertium (IWK), Persatuan Peniaga Masjid India (MIBA), Persatuan Peruncit Batu Road (BARRA), wakil Wisma Yakin dan Persatuan Perniagaan Emas dan Permata India Malaysia (MIGJA).
Dalam pertemuan itu, pihak-pihak berkepentingan termasuk peniaga diberikan jaminan bahawa kawasan itu selamat kepada orang ramai dan kejadian tanah mendap itu disebabkan hakisan daripada air yang mengalir deras, bukannya melibatkan isu sistem infrastruktur.
Pasukan petugas juga memberikan komitmen sepenuhnya untuk menghidupkan dan membangunkan kawasan Masjid India. Langkah yang diambil oleh pihak berkuasa ialah membaiki pulih infrastruktur, mengelakkan kejadian sama berulang dan mengembalikan semula keyakinan orang ramai untuk berbelanja di situ.
Sebaik sahaja kerja-kerja berkenaan disiapkan, rancangan utama adalah menjadikan Masjid India sebagai hub emas utama di Asean, dengan matlamat menarik kehadiran ramai orang di kawasan berkenaan.
Mengulas lanjut, Siraj turut berharap agar DBKL atau mana-mana pemimpin politik untuk melawat Jalan Masjid India serta mengeluarkan kenyataan yang boleh mengembalikan keyakinan orang ramai ke situ.
“Bila kami sebagai peniaga cakap tempat ini selamat, masih ramai yang ragu-ragu, jadi diharapkan kenyataan pihak bertanggungjawab akan dapat menyakinkan orang ramai untuk datang lagi ke sini,” katanya yang mengusahakan kedai emas di situ.
Dalam pada itu, Fong Kui Lun ketika dihubungi berkata setakat ini cuma kedai sekitar kawasan tanah mendap termasuk restoran di depan lubang jerlus tidak boleh beroperasi dalam tempoh tiga bulan.
Langkah itu, katanya, diambil bagi membolehkan kerja-kerja membaiki lubang tersebut disiapkan dalam masa yang ditetapkan.
Namun, setakat pengetahuannya peniaga lain sudah boleh menjalankan perniagaan seperti biasa termasuk pasar malam.
“Tempat kejadian pun telah ditutup untuk kerja-kerja baik pulih (dikawal polis dari semasa ke semasa),” katanya.
Dalam pertemuan itu juga, Kui Lun menyatakan segala keputusan hasil perbincangan DBKL bersama pihak-pihak terlibat akan dimaklumkan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terbaik untuk semua pihak.
“Perbincangan itu melibatkan DBKL dan peniaga. Mereka berbincang dahulu dan hasil keputusan akan dimaklumkan kemudian.
“Saya (sebagai Ahli Parlimen) akan mengikut seperti mana yang dibincangkan. Setakat ini, peniaga boleh berniaga seperti biasa (kecuali premis berdekatan lokasi kejadian sahaja),” katanya.
Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita, G Vijaya Lakshmi, 48, dari India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Bagaimanapun selepas sembilan hari, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita itu dihentikan tanpa sebarang penemuan. – 9 September, 2024