KUALA LUMPUR – Bersatu akan terus menjulang dan mempertahankan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang berteraskan masyarakat pribumi dan pada masa sama menghormati hak-hak yang sah bagi semua kaum, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam amanat sempena ulang tahun kelapan parti tersebut hari ini, Presiden Bersatu itu berkata perkara tersebut adalah asas perpaduan dan keharmonian Malaysia yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta kontrak sosial yang dicapai sebelum merdeka.
Bagaimanapun, beliau mendakwa asas ini semakin dicabar secara terang dan halus di mana perjuangan untuk mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera serta kedudukan agama Islam tanpa menjejaskan hak kaum dan agama lain seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dikatakan kesalahan 3R (agama, raja dan kaum).
“Kita akan dituduh menghasut dan boleh didakwa di mahkamah walaupun tujuan kita semata-mata untuk menegakkan perjuangan parti kita yang sah,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Muhyiddin berkata, ironinya bagaimana kerajaan yang dahulunya memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat atas nama reformasi, kini didakwa menjadi diktator paling rakus.
“Mereka tanpa segan silu menggunakan instrumen undang-undang dan institusi kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat, khususnya lawan politik mereka,’’ dakwanya.
Beliau turut mendakwa semua itu adalah untuk terus kekal berkuasa dan cuba membina sebuah naratif politik berasaskan acuan politik yang tidak mengiktiraf kedudukan bangsa pribumi sebagai bangsa teras di negara ini.
“Walaupun parti kita baru berusia lapan tahun, mata rantai perjuangan parti kita merentas masa dan sejarah yang panjang.
“Perjuangan ini yang dijulang oleh pejuang-pejuang bangsa kita terdahulu menjadi asas pembinaan negara Malaysia yang merdeka dengan rakyatnya yang berbilang kaum dan agama hidup aman dan harmoni,’’ katanya. – 8 September, 2024