Anwar adakan pertemuan dua hala dengan Presiden Vladimir Putin

Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan pada sidang pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) ke sembilan esok

7:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, dalam lawatan pertama Perdana Menteri ke Rusia sejak dilantik ke jawatan tersebut pada November 2022.

Pertemuan bilateral itu adalah sempena lawatan kerja dua hari beliau ke negara tersebut dan Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan ucapan pada sidang pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) ke sembilan esok. EEF berlangsung mulai 3 hingga 6 September.

“Saya pastinya berharap untuk mempunyai hubungan yang lebih baik, kerjasama peribadi dan kerajaan, semua bidang (dengan Rusia),” kata Anwar semasa pertemuan dua hala itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan telah memberi jaminan kepada Putin bahawa, sebagai Pengerusi Asean tahun depan, beliau akan berusaha untuk meningkatkan kerjasama kumpulan serantau itu dengan Rusia dalam semua bidang.

“Seperti yang anda tahu, Asean sentiasa menjalin hubungan dengan Rusia dan kami mempunyai perdagangan terbuka yang memfokuskan kepada semikonduktor atau dalam beberapa bidang berkaitan.

“Tentu sekali, kami di Asean menantikan penyertaan anda (pada Sidang Kemuncak Asean 2025),” katanya.

Anwar akui potensi besar Rusia dan sebagai negara terbesar dunia, ia telah menunjukkan keazaman untuk menghadapi pelbagai kesukaran dan mengatasinya.

“Jika anda boleh berkongsi perkara ini dalam kerjasama (kita)…kami pasti akan mendapat manfaat daripada pengalaman ini,” katanya seperti dilapor Bernama.

Pada pertemuan itu, Anwar mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Putin secara peribadi, kerana bertemu dengannya walaupun mempunyai jadual yang padat.

“Kami, tentunya berharap untuk mempunyai program susulan yang efektif supaya perbincangan (hari ini) tidak berakhir di sini. Saya berharap dapat bekerjasama dengan anda dan pasukan anda,” katanya.

Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup serta pegawai kanan.

Dalam pada itu, setibanya di Vladivostok, Anwar menerima kunjungan Ketua Republik (Rais) Wilayah Tatarstan, Rusia, Rustam Minnikhanov, yang telah berkunjung ke Malaysia pada bulan lepas.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Anwar berkata pertemuan itu bagi meraikan persahabatan erat antara Malaysia dan Tatarstan selain membincangkan pelbagai isu termasuk kerjasama dari segi ekonomi dengan pelabur-pelabur dari Tatarstan dan Mesyuarat Russia-Islamic World Strategic Vision Group.

Anwar turut mengambil peluang menerangkan hala tuju Malaysia dalam beberapa bidang strategik berdasarkan polisi yang digariskan di bawah Ekonomi Madani termasuk bidang transformasi digital, peralihan tenaga, pelancongan dan keterjaminan makanan.

Pada kesempatan yang sama, Perdana Menteri turut bertemu Timbalan Utama Pengerusi Majlis Mufti Persekutuan Rusia, Rushan Hazrat Abbyasov bersama Wakil Diplomat Jabatan Spiritual Wilayah Timur Jauh, Jamal Sirenevich Garifullin.

“Pertemuan ini menjadi satu peringatan kepada hubungan terdalam warga Muslim di kedua-dua negara, melangkaui jarak serta benua yang memisahkan kita.

“Rusia mempunyai seramai 25 juta warga Muslim, yang tentunya lebih besar jumlahnya ketimbang Malaysia, lantaran itu ia menjadi alasan kukuh betapa hubungan yang lebih erat perlu direncana dan diusahakan,’’ katanya.

Turut disentuh dalam pertemuan itu, kata Anwar ialah mengenai sistem perbankan Islam, latihan serta pembangunan keupayaan selain pertukaran kepakaran dan kerjasama pelbagai institusi di Malaysia yakni Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Muzium Kesenian Islam, Bank Negara Malaysia dan lain-lain.

“Industri halal yang terus berkembang lantas meletakkan Malaysia di kedudukan terbaik dalam memenuhi minat mendalam Rusia di sektor ini. Nilai yang dikongsi secara bersama ini akan pastinya memanfaatkan, tidak hanya warga Muslim, tetapi negara secara keseluruhannya,’’ katanya. – 4 September 2024

Topics

 

Hangat

DBKL slices up Havoc Food Festival in Setapak as traffic complaints boil over

Nik Nazmi steps in after residents complain of congestion, authorities shut down unlicensed event

In latest book ‘Saving the Planet’, Nik Nazmi makes urgent call for climate action

New book offers a Malaysian perspective on the global environmental crisis, highlighting economic and social stakes of climate change

Sports budget allocation: is popularity winning over performance in 2025 funding?

As RM15 million goes to football and RM20 million to e-sports, critics question whether funding priorities reflect merit or strong networks in Malaysian sports

Related