DUN Mahkota berbeza dengan Nenggiri, kempen rumah ke rumah sahaja tidak memadai: Penganalisis

Ini kerana DUN Mahkota berbeza demografi dan sosio ekonomi dengan penduduk di Nenggiri

9:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jentera Umno perlu menggabungkan kempen tradisional dan terkini untuk menawan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, tidak hanya bergantung kempen rumah ke rumah sahaja.

Menurut penganalisis politik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi kepada Scoop, ini kerana DUN Mahkota berbeza demografi dan sosio ekonomi dengan penduduk di Nenggiri.

Jelasnya, kemenangan di PRK Nenggiri tidak boleh dijadikan sebagai petunjuk mutlak kepada kejayaan di PRK Mahkota kerana pendekatan yang berjaya di satu kawasan tidak semestinya berkesan di kawasan lain, katanya yang merujuk kepada kempen rumah ke rumah yang dipraktik Umno di Nenggiri.

Menurut Awang Azman, BN juga perlu mengambil peluang dengan memanfaatkan strategi menerusi media sosial agar mesej kempen sampai tepat kepada kumpulan sasaran pengundi muda.

Penganalisis politik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, gabungan kempen tradisional dan terkini perlu kerana DUN Mahkota berbeza demografi dan sosio ekonomi dengan penduduk di Nenggiri. – Gambar Facebook, 14 September, 2024

“Jika Mahkota mempunyai lebih ramai pengundi bandar atau pengundi yang celik teknologi, pendekatan dari rumah ke rumah mungkin perlu digabungkan dengan strategi digital untuk mencapai kumpulan pengundi yang lebih meluas.

“Kemenangan di PRK Nenggiri tidak boleh dijadikan sebagai petunjuk mutlak kepada kejayaan di PRK Mahkota kerana pendekatan yang berjaya di satu kawasan tidak semestinya berkesan di kawasan lain,” katanya kepada Scoop.

Pada PRK Nenggiri, jentera Umno menggunakan kempen rumah ke rumah bagi mendekati pengundi sekali gus membantu kemenangan calonnya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, merampas semula kerusi Nenggiri dengan memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.

Menurut Awang Azman, BN perlu memanfaatkan platform seperti Facebook, Twitter dan TikTok untuk menyebarkan mesej kempen, membincangkan isu-isu semasa dan berinteraksi dengan pengundi muda.

“Selain itu, BN perlu terus membina hubungan rapat dengan komuniti melalui kempen dari rumah ke rumah dan secara berkelompok.

“Ini membolehkan calon berinteraksi secara langsung dengan pengundi, memahami isu-isu mereka serta untuk membina kepercayaan terhadap calon BN,” katanya.

Berbeza dengan Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan, beliau berpendapat BN dilihat lebih sesuai mengadakan kempen skala kecil iaitu berkunjung dari rumah ke rumah berbanding ceramah besar-besaran yang sering dilakukan Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, BN juga memerlukan sokongan daripada rakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti DAP dan Amanah agar kemenangan majoriti besar mudah diraih di Dun Mahkota.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berpendapat, BN lebih sesuai mengadakan kempen skala kecil iaitu berkunjung dari rumah ke rumah berbanding ceramah besar-besaran. – Gambar Bernama, 14 September, 2024

“Umno berkempen mengikut strategi janji dan bukan retorik seperti PN (yang suka mengadakan ceramah besar-besaran, tidak mendekati pengundi dengan lebih dekat). Jadi, saya berpendapat BN lebih sesuai berkempen skala kecil dari rumah ke rumah berbanding ceramah berskala mega.

“Selain itu, BN Johor juga memerlukan sokongan daripada DAP dan Amanah kerana terdapat kepelbagaian komposisi kaum pengundi Mahkota jika dibandingkan di Nenggiri yang hampir keseluruhan terdiri daripada orang Melayu.

“Jadi, saya yakin BN mampu mengolah strategi kempen mengikut keadaan semasa agar dapat memenangi hati para pengundi,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 28 September.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Hari ini, BN telah mengumumkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada PRN yang lepas, manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Mereka diumumkan sebagai calon yang layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid selepas proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini, tamat pada 10 pagi. – 14 September, 2024

Topics

 

Hangat

DBKL slices up Havoc Food Festival in Setapak as traffic complaints boil over

Nik Nazmi steps in after residents complain of congestion, authorities shut down unlicensed event

In latest book ‘Saving the Planet’, Nik Nazmi makes urgent call for climate action

New book offers a Malaysian perspective on the global environmental crisis, highlighting economic and social stakes of climate change

FashionValet offload ‘responsible exit’, Khazanah, PNB sold RM47 mil stake for RM3.1 mil: MoF

Ministry says over RM40 mil total loss is ‘negligible compared to overall income for relevant year’

Related