KUALA LUMPUR – Beberapa hotel di sekitar Jalan Masjid India, di sini mengalami kerugian berikutan banyak tempahan dibatalkan oleh pelancong susulan insiden tanah jerlus yang berlaku hampir dua minggu lalu di kawasan tersebut.
Bercakap kepada Scoop, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Isaac Mohan Raj berkata, ada pelanggan turut membatalkan tempahan hotel yang dibuat lebih awal bagi penginapan mereka pada bulan mendatang.
Beliau berkata, pembatalan itu diibuat berkemungkinan ramai yang masih lagi berasa ragu-ragu dengan tahap keselamatan di sekitar kawasan tersebut susulan kejadian menimpa wanita warga India, G Vijaya Lakshmi, 48, yang hilang selepas terjatuh dalam lubang jerlus pada 23 Ogos lalu.
“Banyak tempahan hotel dibatalkan pelancong bukan untuk masa sekarang sahaja, sebaliknya untuk beberapa bulan akan datang.
“Pembatalan ini hanya melibatkan hotel yang beroperasi di sekitar Jalan Masjid India sahaja, hotel lain di Kuala Lumpur tidak terjejas dengan masalah ini,” katanya kepada Scoop.
Isaac berkata, pihaknya difahamkan pembatalan tempahan itu kebanyakan membabitkan orang tempatan sahaja.
“Bagi tempahan pelancong luar negara, kami tidak menerima sebarang laporan daripada ahli MAH setakat ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong mengakui insiden yang berlaku sedikit sebanyak memberikan impak negatif terhadap imej Kuala Lumpur di mata ramai.
Justeru, beliau berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat memperbaiki kawasan yang terjejas secepat mungkin tanpa berkompromi dengan soal keselamatan pengunjung.
“Memang ada sedikit impak (pengurangan) kehadiran pelancong kerana mereka bimbang akan tahap keselamatan jika berkunjung ke situ.
“Jadi, MATTA berharap pihak berkuasa tempatan (DBKL) akan melakukan yang terbaik seperti memperbaiki keadaan jalan yang terjejas secepat mungkin agar ia selamat untuk dikunjungi semua.
“Buat orang ramai pula, jangan takut untuk pergi berjalan-jalan ke tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur yang masih menjadi kota yang sememangnya selamat untuk dikunjungi semua,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan deretan kedai berhadapan dengan lokasi kejadian mula dibuka selepas sebahagiannya ditutup sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata operasi SAR bagi mengesan Vijaya Lakshmi dihentikan selepas mengambil kira isu keselamatan serta risiko kepada anggota pasukan SAR dan keselamatan kawasan di sekitar lokasi insiden. – 3 September, 2024