Sesi libat urus MCMC dan penyedia platform media sosial diadakan bulan ini

Sesi libat urus dengan penyedia platform media sosial itu adalah bagi mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat serta efektif

3:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan sesi libat urus bersama penyedia platform media sosial bagi membincangkan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan kandungan peribadi pengguna bulan ini.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching perjumpaan itu juga bagi menjalinkan kerjasama untuk memastikan data peribadi pengguna tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sesi libat urus dengan penyedia platform media sosial itu adalah bagi mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat serta efektif dan langkah ini penting bagi membolehkan MCMC atau polis menjalankan siasatan.

“Teknologi seperti deepfake sudah lama ada tetapi dengan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), ia turut digunakan scammer untuk penyebaran gambar lucah dan bahan melibatkan kanak-kanak. Itu sebabnya kita perlu dapatkan kerjasama dengan penyedia platform seperti Meta, Telegram dan TikTok,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Nie Ching berkata demikian ketika menghadiri program Jom Tonton Wayang Takluk: Lahad Datu bersama warga Kulai di sebuah pusat beli-belah, hari ini.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata menerusi sesi libat urus tersebut diharapkan penyedia platform media sosial dapat melakukan pengawalseliaan kendiri terhadap kandungan berunsur jenayah dalam platform masing-masing.

“Teknologi akan semakin ke depan dan tidak munasabah jika kita tidak menggunakannya. Tetapi kita perlu lebih berhati-hati apabila hendak kongsikan sebarang maklumat di media sosial bukan sahaja maklumat peribadi tetapi juga berkaitan kanak-kanak.

“Apa yang perlu kita faham adalah apabila kita pilih untuk kongsikan sesuatu maklumat di media sosial, adalah susah untuk dipadam semula sekiranya terdapat pihak yang memuat turun data tersebut,” katanya.

Sementara itu, Teo berkata rakyat Malaysia diharap dapat memberi sokongan kepada filem-filem tempatan yang sedang ditayangkan di pawagam ketika ini dan bukan hanya menyokong filem antarabangsa.

“Setakat ini, kutipan box office bagi 27 filem tempatan termasuk Takluk: Lahad Datu telah mencecah RM97.5 juta, hampir menyamai kutipan keseluruhan box office bagi 56 filem tempatan tahun lepas yang berjumlah RM98.8 juta.

“Ini membuktikan filem tempatan juga berkualiti. Saya harap penonton terus menyokong industri filem tempatan. Kutipan box office tertinggi tahun ini masih ‘Sheriff: Narko Integriti’ manakala kutipan box office tertinggi tahun lepas milik ‘Polis Evo 3’,” katanya. – 1 September, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related