KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan strategi baharu dalam berkempen serta berceramah di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor.
Bercakap kepada Scoop, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, beliau tidak menolak pendekatan lebih berhati-hati akan diambil terutama membabitkan ceramah yang akan disampaikan pemimpin PN sepanjang berkempen.
Beliau berkata, ia susulan tuduhan menghasut dikenakan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan hanya gertakan pihak lawan bagi mengekang saingan politik.
“DUN Mahkota dengan DUN Nenggiri berbeza, namun secara dasarnya kita melihat ketidakadilan kerajaan yang menggunakan Akta Hasutan.
“Dulu mereka kata nak hapuskan Akta Hasutan tetapi hari ini kita lihat akta itu digunakan secara semberono untuk mengekang saingan politik.
“Bagaimanapun PN mempunyai strategi baharu dalam menghadapi PRK DUN Mahkota terutama dalam kempen dan berceramah.
“Strategi itu tidak perlu saya gemburkan sekaranglah, tapi yang jelas apa yang kita lihat berlaku adalah ‘gertakan’ yang cuba dilakukan yang mana Presiden Bersatu kena (dituduh di mahkamah), Menteri Besar Kedah pun kena.
“Apapun ‘gertakan’ ini tidak akan melemahkan PN dan yang pasti strategi sudah disusun dan kita ada banyak lagi cara lain untuk berkempen nanti,” katanya hari ini.
Ditanya mengenai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya Institusi Raja tidak sepatutnya diheret dengan tohmahan dan fitnah berkaitan isu-isu politik, Razali tidak menafikan pembangkang sentiasa berhati-hati dalam isu yang menyentuh institusi raja.
“Bab raja ini memang pembangkang akan berhati-hati, cumanya banyak isu yang dimanipulasi, seolah-olah kita pembangkang tidak suka kepada institusi raja.
“Sedangkan perkara berkaitan itu memang tidak akan sentuh. Apabila kerajaan menggunakan Akta Hasutan dibawah isu 3R ini melampau-lampau, jadi nampak macam isu besar, sebenarnya tidak ada ada pun.
“Begitu juga dalam tuduhan dihadapi Muhyiddin, beliau tidak menyentuh 3R pun, namun bila video ditular setengah-setengah ini membolehkan manipulasi berlaku.
“Sedangkan Tan Sri hanya menceritakan perkara sebenar mengenai pelantikan Perdana Menteri, tiada menyentuh pasal raja pun,” katanya.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin menegaskan Institusi Raja tidak sepatutnya diheret dengan tohmahan dan fitnah berkaitan isu-isu politik.
Titah baginda, Institusi Raja adalah ‘above politics’ (di atas politik) justeru sebarang bentuk teguran dan kritikan terhadap pemerintah dan Institusi Raja seharusnya disuarakan melalui saluran yang betul serta secara berhemah.
Baginda juga menyeru seluruh rakyat untuk sama-sama bertanggung jawab mengharmonikan dan menyuburkan perpaduan rakyat tanpa perlu meracuni fikiran rakyat dengan unsur-unsur negatif terutama isu 3R dalam menegakkan pemerintahan berkonsepkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. – 31 Ogos, 2024