KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk menggazetkan kawasan Masjid India sebagai zon tidak selamat kerana apa yang berlaku tidak dikategorikan sebagai bencana, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Menurutnya, pengisytiharan sesuatu kawasan itu selamat atau tidak, perlu mendapatkan kebenaran khas daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Tak perlu lagi, kalau nak gazet zon tidak selamat kena isytihar zon bencana, kena dapatkan daripada MKN.
“Walaupun kawasan itu bukan bencana namun tindakan polis, Jabatan Bomba, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rela, IWK Konsortium dan Angkatan Pertahanan Awam melakukan tugas dengan bersungguh-sungguh,’’ katanya pada sidang media pada majlis serah terima tuga Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di Kota Bharu hari ini.
Beliau ditanya sama ada polis akan mengisytihar kawasan berkenaan sebagai zon tidak selamat memandangkan berlaku mendapan tanah kedua di Jalan Masjid India.
Kejadian tanah mendap kedua itu dikesan kira-kira 50 meter dari lokasi tanah jerlus di Jalan Masjidn India, susulan hujan lebat dan ribut pada malam semalam.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, arahan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi bahawa lima lurang pembentungan antara Jalan Masjid India hingga Jalan Raja Laut akan ditutup.
“Laluan itu sahaja (ditutup). Tidak arahkan mana-mana kedai ditutup,’’ katanya.
Jalan Masjid India terpaksa ditutup sejak Jumaat lalu susulan kejadian pelancong warga India, Vijaya Lakshmi yang terjatuh ke dalam tanah jerlus ketika sedang berjalan dari arah Selangor Mansion menuju ke Wisma Yakin. – 29 Ogos, 2024