KUALA LUMPUR – Kematian seorang penggiat dan aktivis media sosial baru-baru ini mencetuskan kemarahan dan perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan gesaan agar peraturan yang lebih ketat mengenai buli siber dan khususnya penggunaan platform media sosial.
Rajeswary Appahu, 30 dikenali sebagai Esha dalam media sosial, ditemukan meninggal dunia di kondominiumnya, sehari selepas membuat laporan polis susulan kebimbangan dirogol dan dibunuh.
Esha memberitahu dia telah diganggu menerusi platform media sosialnya, TikTok.
Susulan kematiannya, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berjanji untuk berbincang dengan Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk membincangkan perkara melibatkan siber buli.
Beliau juga berjanji untuk membawakan perkara itu ke Kabinet.
Buli siber semakin meningkat di mana-mana, dan menjadi masalah dunia diburukkan lagi dengan penggunaan media sosial dan internet.
The Global Digital Report 2024, yang diterbitkan oleh Meltwater dan We Are Social mendapati 28.68 juta orang atau 83.1% daripada populasi negara, mempunyai identiti sosial media.
Laporan itu mendapati tambahan 4.8 juta identiti pengguna telah menyertai media sosial tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 20% daripada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan peningkatan populariti media sosial dalam kalangan Buli Siber Malaysia tidak terhad kepada dewasa sahaja malah dalam kalangan belia.
Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (Unicef) pada 2020 meletakkan Malaysia di kedudukan kedua di Asia kerana buli siber dalam kalangan belia, satu situasi serius yang tidak boleh dipinggirkan.
Profesor Madya (kriminologi) Mohammad Rahim Kamaluddin dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata media sosial telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, terutama selepas pandemik kerana pelajar sekolah pun bergantung kepada ruang siber.
“Sebelum kemunculan media sosial, kita menggunakan Google untuk mendapatkan maklumat.
“Kini, kita menggunakan media sosial untuk mendapatkan maklumat yang sama.
Beliau berkata, walaupun terdapat manfaat di mana maklumat kini hanya di hujung jari, namun sisi gelap media sosial perlu diberikan perhatian termasuk antunan seksual, scam, buli siber dan kewujudan pemangsa seksual dalam talian.
“Tingkah laku jenayah adalah dinamik dan tingkah laku mereka kini disepadukan di ruang siber untuk perbuatan jenayah mereka.
“Apabila kita memberi tumpuan kepada kanak-kanak di bawah umur, dan pelajar sekolah, isu buli siber ini adalah sesuatu yang perlu kita bimbangkan. Sebagai contoh, dalam kes Esha baru-baru ini, kita dapat melihat buli siber berlaku di seluruh demografi, tiada bezanya, malah profesional juga dibuli di platform siber.
Pakar kriminologi itu berkata perbuatan buli siber mesti dihentikan dan sudah tiba masanya untuk satu akta bagi mengawal selia media sosial diwujudkan.
“Kita tahu bilangan pembuli siber adalah melebihi dari apa yang kita lihat. Malah ramai mangsa yang berhenti dari media sosial namun ia bukan penawar untuk menamatkan masalah ini. Akta tersendiri yang mengawal buli siber akan menanamkan rasa takut dalam diri pelaku dan mengawal isu tersebut.
Beliau berkata pembuli semakin berkembang dalam buli siber kerana faktor tanpa nama atau identiti.
“Sistem memudahkan mereka, seperti membuka akaun media sosial dengan ID atau nombor telefon palsu. Dan ini memberikan keberanian kepada mereka untuk terlibat dalam aktiviti seumpama itu kerana mereka kekal tanpa nama.
“Daripada minda pembuli, buli siber tidak berbahaya seperti buli fizikal atau tradisional kerana mereka tidak dapat melihat kesan serta-merta, seperti luka akibat dibuli secara fizikal.
“Tetapi pada hakikatnya, kesan buli siber akan membawa kepada kemurungan di mana ia boleh membahayakan diri mereka sendiri. Ia adalah isu yang sangat bahaya.
“Kami penyelidik percaya buli siber mempunyai lebih banyak kesan negatif berbanding buli fizikal yang biasanya berlaku dalam empat dinding, menjadikan mangsa ‘selamat’ apabila mereka berada di luar ruang.
Namun dalam dunia siber, buli boleh berlaku di mana-mana dan kepada sesiapa pun.
Dan jejak atau bukti seperti gambar ejekan, akan kekal selama-lamanya, serta menjejaskan kesihatan mental mangsa.
“Mengharamkan TikTok bukan jawapannya, kerana platform media sosial lain akan muncul. Sebaliknya, mendidik masyarakat perlu dilakukan untuk mengurangkan buli siber. Sebagai contoh etika ketika menggunakan media sosial, perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan mesti diajar di tahap yang paling muda.
“Kita juga harus melihat pengintegrasian ini ke dalam sukatan pelajaran sekolah kerana kita bimbang ia akan menjadi budaya,” ujarnya.
Sementara itu, mengenai antunan seksual dalam talian, beliau berkata pemangsa kanak-kanak dan pedofilia menggunakan media sosial sebagai katalog untuk menyasarkan mangsa yang berpotensi.
Beliau berkata kanak-kanak yang terabai sering menjadi sasaran yang paling mudah kepada pemangsa ini.
“Kajian tempatan pada tahun 2000 mendapati sebilangan besar pelajar di bawah umur telah menerima permintaan menjadi rakan daripada individu yang tidak dikenali dan kemudiannya terlibat dalam perbualan seksual dengan mereka.
“Pemangsa akan mengambil masa untuk membina hubungan dan ikatan emosi dengan kanak-kanak sebelum terlibat dalam perbualan seksual.
“Jadi, ibu bapa perlu tahu apa yang berlaku dalam kehidupan anak mereka dan perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang antunan seksual serta bagaimana pemangsa mendekati anak-anak mereka,’’ katanya.
Beliau menggesa ibu bapa menjadi rakan dengan anak-anak mereka di dalam platform media sosial dan memantau aktiviti dalam talian.
Jelasnya, ibu bapa perlu memberikan perhatian yang teliti kepada rakan-rakan anak mereka, siapa pengikut mereka dan siapa yang menjadi ikutan.
Tambah beliau, meskipun kerajaan mengingatkan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka di bawah 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial, namun terdapat kemungkinan mereka membukanya tanpa pengetahuan, terutama desakan rakan sebaya.
“Ibu bapa hari ini mesti dilengkapi dengan keibubapaan siber. Perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan, untuk memastikan anak-anak di bawah umur selamat. Terdapat juga program-program oleh kerajaan dan agensi-agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang mengajar tentang keselamatan siber.
“Ibu bapa mesti mendedahkan anak-anak mereka kepada program dan kesedaran sedemikian,” katanya.
Pada masa ini, keselamatan siber di negara ini dikawal selia oleh beberapa undang-undang seperti Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kanun Keseksaan dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Bagaimanapun, pakar percaya peraturan yang lebih komprehensif diperlukan untuk menangani isu-isu yang lebih luas yang meliputi keselamatan siber, buli siber dan penggunaan platform media sosial untuk memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua. – 28 Ogos, 2024